Sel baharu atasi masalah kapasiti tapak pelupusan sampah Sungai Udang

MELAKA - Sel baharu perlu dibangunkan bagi menampung sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang yang dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh setahun lagi kerana masalah kapasiti.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia, Hee Loy Sian berkata, pembinaan sel baharu itu kini dalam proses tender dan akan dibina berhampiran tapak sedia ada bagi memastikan operasi pelupusan tidak terganggu.
Menurutnya, pembinaan sel baharu perlu disegerakan sementara menunggu projek sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) siap sepenuhnya menjelang tahun 2029.
“Tapak pelupusan sekarang memang tidak mampu lagi menampung sisa pepejal yang ada. Kira-kira 1,100 tan sisa dihantar ke tapak berkenaan setiap hari.
“Jadi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sedang dalam proses tender untuk menambah satu sel baharu sebagai langkah sementara. Kita berharap sel baharu itu dapat beroperasi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Jangan Gunalah: Bebas Plastik Bermula Dengan Saya di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Datuk Bandar MBMB Shadan Othman dan Pengarah SWCorp Melaka Nor Zaki Md Nor.
Sementara itu Loy Sian berkata, walaupun pembinaan loji WTE di Sungai Udang akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu pelupusan sampah di negeri itu namun penggunaan tapak pelupusan tetap diperlukan memandangkan tidak semua sisa boleh dibakar.
“Walaupun ada loji WTE, masih ada antara tiga hingga lima peratus sisa yang tidak boleh dibakar dan perlu dilupuskan di tapak pelupusan. Jadi, kita tidak boleh kata sifar landfill, cuma penggunaannya akan berkurangan hingga 95 peratus.
“KPKT menyasarkan untuk membangunkan 18 loji WTE di seluruh negara menjelang 2050. Projek WTE Sungai Udang bakal menjadi loji kedua dalam negara selepas yang pertama dioperasikan di Cypark Negeri Sembilan,” katanya.
Jelasnya, pembinaan loji WTE bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan terbuka yang berisiko mencemarkan alam sekitar.
“Tapak pelupusan yang tidak diurus dengan baik boleh menghasilkan air larut resapan yang mencemarkan sungai. Jadi, pembinaan WTE ini adalah langkah terbaik dan paling efisien bagi mengurus sisa pepejal.
“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai pencemaran udara susulan pembangunan loji WTE, teknologi yang digunakan mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak menjejaskan alam sekitar. Ini kaedah terbaik untuk kita tangani masalah sampah secara lestari,” katanya.
Ringkasan AI
- Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang di Melaka hanya mampu bertahan setahun lagi dan memerlukan sel baharu
- Pembinaan sel baharu sedang dalam proses tender dan akan dibina berhampiran tapak sedia ada
- Pembinaan sel baharu dipercepatkan sementara menunggu projek WTE siap pada tahun 2029
- Loji WTE sebagai penyelesaian jangka panjang, namun tidak semua sisa boleh dibakar menyebabkan tapak pelupusan masih diperlukan
- KPKT menyasarkan untuk membangunkan 18 loji WTE di seluruh negara menjelang 2050
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

