Putrajaya FOI 2025 simbol kebangkitan baharu minda Malaysia

A
A
A

Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat semasa merasmikan Putrajaya FOI 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat semasa merasmikan Putrajaya FOI 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar Malaysia melangkah ke era baharu sebagai Negara Ilmu sebuah bangsa yang maju bukan hanya dengan teknologi, tetapi juga dengan budi dan hikmah.

Berucap di hadapan lebih 5,000 peserta yang memenuhi Dewan Planeri Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, tegasnya, Putrajaya FOI bukan sekadar lontaran gagasan, tetapi satu panggilan untuk kebangkitan minda nasional, berpaksikan nilai Madani: ilmu, adab dan kemanusiaan.

“Kita mahu melihat Festival of Ideas Putrajaya bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi satu Gelombang Idea Nasional di mana kreativiti, pengetahuan dan inovasi mengalir di seluruh negara dari bilik kuliah hingga ke kampung,” ujarnya pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Dalam festival ilmu bertemakan Madani: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa ilmu bukan sekadar fakta atau maklumat yang dikumpul, tetapi cahaya yang mampu mengubah jiwa dan tamadun manusia.

Beliau memetik ayat al-Quran yang mengingatkan bahawa ALLAH mengangkat darjat orang beriman dan berilmu, serta hadis Rasulullah SAW yang menekankan kewajipan mencari ilmu.

Tambahnya, sejarah Islam membuktikan bahawa peradaban besar seperti Baghdad dan Andalusia bangkit kerana menyanjung ilmu.

“Buku lebih berharga daripada harta rampasan perang dan keinginan untuk memahami menjadi ukuran sebenar kekuatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid turut menyentuh realiti dunia digital yang membanjiri masyarakat dengan maklumat tanpa sempadan, tetapi sering meninggalkan kekosongan makna.

Pengunjung yang membanjiri reruai yang disediakan sempena Putrajaya FOI 2025.
Pengunjung yang membanjiri reruai yang disediakan sempena Putrajaya FOI 2025.

“Kita hidup dalam zaman di mana maklumat tidak pernah tidur. Telefon kita bergetar setiap saat dengan berita dan pendapat. Dalam lautan maklumat ini, ramai masih haus akan makna,” ujarnya.

Beliau menyifatkan gangguan tumpuan dan keghairahan mengejar kandungan tular sebagai cabaran besar dunia pendidikan hari ini.

“Kita tahu lebih banyak, tetapi memahaminya sedikit. Kita mengejar yang tular, bukan yang bernilai.

“Ilmu kini berada di hujung jari, tetapi tidak semestinya di hati,” ujar beliau lagi.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan genetik mesti digerakkan bersama kompas moral agar kuasa ilmu tidak tersasar daripada tujuan kemanusiaan.

“Pengetahuan tanpa nilai akan melahirkan kuasa tanpa tujuan. Dunia kini tidak lagi milik mereka yang hanya tahu, tetapi milik mereka yang mampu belajar, melupakan dan belajar semula,” ujarnya.

Putrajaya FOI pentas pemikiran strategik

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada Zambry atas kepimpinan beliau menjayakan Putrajaya FOI yang kini menjadi pentas pemikiran strategik antara akademik, industri dan masyarakat.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk membantu KPT memperluas festival itu dengan sokongan bajet lebih besar agar ia berkembang menjadi satu ekosistem ilmu nasional.

Ahmad Zahid (tengah) bersama jemputan dan peserta Putrajaya FOI 2025 di PICC Putrajaya.
Ahmad Zahid (tengah) bersama jemputan dan peserta Putrajaya FOI 2025 di PICC Putrajaya.

“Saya akan membantu Menteri Pendidikan Tinggi mendapatkan peruntukan lebih besar untuk memperkukuh Festival Idea Putrajaya supaya ia terus menjadi nadi gerakan ilmu yang merentas masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya terletak pada ekonomi atau infrastruktur, tetapi pada daya fi kir dan keberanian rakyatnya untuk berinovasi.

“Negara tidak dibina dengan batu dan keluli semata-mata, tetapi dengan minda yang berani berfikir, membayangkan dan mencipta.

“Jika Malaysia mahu dikenali sebagai Negara Ilmu, perjalanan ini tidak boleh berhenti hari ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa setiap idea yang lahir dalam Putrajaya FOI mesti diterjemahkan menjadi dasar, kurikulum dan tindakan yang membawa perubahan nyata kepada masyarakat.

“Ilmu adalah amanah. Kita akan ditanya apa yang kita lakukan dengan akal, masa dan bakat yang dikurniakan.

"Jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Kebangkitan baharu minda Malaysia pasti dapat direalisasikan,” tambahnya.

Putrajaya FOI cetus fenomena baharu

Sementara itu, Zambry berkata, Festival Idea Putrajaya 2025 menyaksikan pemeteraian 68 perjanjian kerjasama strategik dengan pulangan pelaburan (ROI) lebih RM158 juta.

Beliau berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA), dan Surat Niat (LoI) di festival itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kebanyakan kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan yang berimpak tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan, pertanian dan pelbagai bidang lain yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Terdapat juga inisiatif berbentuk perkhidmatan perkongsian dengan pihak industri contohnya pelaksanaan latihan industri yang memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman sebenar di syarikat-syarikat berkaitan,” jelas beliau.

Zambry berkata, pulangan pelaburan (ROI) pada hari pertama mencapai RM137,703,574 manakala hari kedua mencatat RM21,241,358.

Beliau berkata, hari pertama melibatkan penyertaan daripada 31 universiti awam (UA) dan empat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan 31 industri, manakala hari kedua disertai oleh 22 UA dan 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan 34 industri.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!