Polis ambil perhatian elemen baharu kes kematian murid Tahun Empat di Senawang

Alzafny Ahmad
Alzafny Ahmad
A
A
A

NILAI - Polis Negeri Sembilan mengambil maklum semua elemen baharu yang dibangkitkan berhubung kematian seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah Senawang bulan lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pendakwaaan untuk membuat penilaian dan keputusan sewajarnya.

"Elemen-elemen lain yang cuba dibangkitkan selepas siasatan dijalankan, kita ambil perhatian.

"Tetapi biarlah pihak Timbalan Pendakwa Raya membuat kajian dengan selesa tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah pun menerima semula kertas siasatan daripada pihak Jabatan Peguam Negara pada Isnin dan kini menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kimia serta hospital.

Jelas beliau, apabila kesemua laporan tersebut telah diperolehi dan dilengkapkan, ia akan dikembalikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, tampil dalam sidang media pada Isnin mendakwa, anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Muhammad Hafizuddin dilaporkan berkata, arwah anaknya, Iman Zhafran, 10, sempat memberitahu kakaknya mengenai ugutan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah menemui nota tulisan tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berunsur ugutan.

“Dalam buku arwah, ada tulisan berbunyi ‘saya nak awak mati... saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka’. Itu yang polis tunjukkan kepada kami,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan tersebut mempunyai kaitan dengan kematian anaknya atau sebaliknya.

“Kami mahukan keadilan. Kalau betul ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi (meninggal dunia) begini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Polis Negeri Sembilan meneliti elemen baharu berkaitan kematian seorang murid Tahun Empat di Senawang
  • Kertas siasatan telah dikembalikan dari Jabatan Peguam Negara dan menunggu laporan Jabatan Kimia serta hospital
  • Mangsa, Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah dan kematian disebabkan tekanan pada leher
  • Polis menyiasat kes sebagai buli melalui komunikasi berdasarkan Seksyen 507C Kanun Keseksaan
  • Bapa mangsa mendakwa anaknya menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian dan menuntut siasatan menyeluruh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!