Masa untuk Nurul Izzah isi ruang kepimpinan

Pelantikan Nurul Izzah dalam Kabinet bukan sahaja wajar dari segi hierarki malah dapat mengukuhkan kedudukan PKR sebagai tunjang utama dalam gabungan Pakatan Harapan. Gambar kecil: Summugam Rengasamy
Pelantikan Nurul Izzah dalam Kabinet bukan sahaja wajar dari segi hierarki malah dapat mengukuhkan kedudukan PKR sebagai tunjang utama dalam gabungan Pakatan Harapan. Gambar kecil: Summugam Rengasamy
A
A
A

ROMBAKAN Kabinet kini menjadi antara topik utama dalam wacana politik Malaysia berikutan pengunduran dua tokoh PKR, iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada jawatan Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, pada 17 Jun dan 4 Julai lalu.

Sehingga kini kekosongan dua jawatan ini masih belum berisi sebaliknya jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dipangku oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi, manakala jawatan Menteri Ekonomi pula dipangku oleh Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkuat kuasa mulai 3 Disember 2022 pula akan terpaksa mengosongkan jawatan itu selepas lantikan kali keduanya sebagai Ahli Dewan Negara berakhir pada 2 Disember depan.

Dalam Kerajaan Perpaduan yang melibatkan pelbagai parti, PKR perlu mengekalkan keseimbangan dalam pengagihan kuota Menteri. Untuk itu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, perlu dimasukkan ke dalam Kabinet kerana keempat-empat Naib Presiden PKR memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Selain Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amirudin Shari yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor, Chang Lih Kang adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan pula adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pelantikan Timbalan Presiden PKR ke Kabinet bukan sahaja wajar dari segi hierarki malah dapat mengukuhkan kedudukan PKR sebagai tunjang utama dalam gabungan. Ia akan mengurangkan risiko ketegangan dalaman serta memperkukuhkan struktur pentadbiran parti di peringkat nasional. Rombakan ini berpotensi memperkukuh kedudukan PKR sebagai tulang belakang utama dalam Kerajaan Perpaduan.

Dengan Nurul Izzah mengisi kekosongan tersebut, parti akan memperlihatkan kesinambungan kepimpinan yang stabil antara generasi reformasi dan generasi profesional muda. Ia juga akan menonjolkan imej PKR sebagai parti yang berani memberi ruang kepada wanita dan tokoh berkaliber untuk menerajui kementerian strategik.

Rafizi, 48 tahun, dan Nik Nazmi, 43 tahun, merupakan tokoh reformis yang dihormati dan kekosongan mereka boleh menimbulkan kebimbangan mengenai kesinambungan agenda reformasi. Pelantikan Nurul Izzah, 45 tahun, mampu mengekalkan momentum reformasi kerajaan dengan wajah baharu yang bersih, intelektual dan berorientasikan dasar. Ini penting bagi memulihkan persepsi rakyat bahawa kerajaan masih segar dan berwawasan.

PKR mempunyai beberapa ahli Parlimen muda lain, iaitu Prabakaran M Parameswaran, P115 Batu, 29 tahun; Dr Mohammed Taufiq bin Johari, P015 Sungai Petani, 29 tahun; Yuneswaran Ramaraj, P140 Segamat, 37 tahun; Lee Chean Chung, P105 Petaling Jaya, 44 tahun; Sim Tze Tzin, P052 Bayan Baru, 49 tahun; Jimmy Puah Wee Tse, P158 Tebrau, 49 tahun; dan Kesavan Subramaniam, P062 Sungai Siput, 51 tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mereka masih terlalu muda atau belum terdedah dengan pengalaman luas baik dalam parti atau dalam kerajaan sepertimana Nurul Izzah.

Nurul Izzah bukan sekadar simbol reformasi, tetapi tokoh yang telah melalui perjalanan politik panjang dan berprinsip. Beliau telah tiga kali dipilih sebagai Naib Presiden PKR dengan undi tertinggi membuktikan pengiktirafan akar umbi terhadap integriti, karisma dan kebolehannya memimpin.

Kini sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau memiliki mandat langsung daripada ahli parti untuk meneruskan perjuangan politik yang berasaskan keadilan dan pembaharuan.

Selain itu, beliau juga pernah memegang kerusi Parlimen selama tiga penggal, iaitu di Lembah Pantai (2008–2018) dan Permatang Pauh (2018–2022). Pengalaman beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di beberapa negeri menonjolkan keupayaan strategiknya dalam mengurus jentera politik dan memahami denyut nadi akar umbi di pelbagai lapisan masyarakat.

Dari sudut akademik pula, Nurul Izzah mempunyai kelayakan yang kukuh. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta Ijazah Sarjana dalam Hubungan Antarabangsa (Pengkhususan Asia Tenggara) dari Johns Hopkins University – School of Advanced International Studies (SAIS), Amerika Syarikat.

Gabungan latar kejuruteraan dan hubungan antarabangsa menjadikan beliau seorang pemimpin yang berfokus kepada penyelesaian berasaskan analisis, berpandangan global dan peka terhadap dimensi sosioekonomi.

Terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan Nurul Izzah di portfolio mana sekalipun, tetapi melihat kepada kepentingan Kementerian Pendidikan, beliau sesuai diletakkan di kementerian itu yang memerlukan figura reformis yang bukan sekadar memahami dasar tetapi juga berupaya membawa nilai baharu dalam pendekatan pendidikan kebangsaan.

Nurul Izzah telah lama menunjukkan minat terhadap isu pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), keadilan sosial serta peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah. Beliau memahami cabaran pendidikan bukan hanya dari aspek kurikulum, tetapi juga keadilan sosial dan pembangunan modal insan.

Dengan visi pembaharuan yang segar, beliau boleh memacu transformasi sistem pendidikan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang berdaya saing, progresif dan berpemikiran kritikal selaras dengan semangat Malaysia Madani.

Kebimbangan terhadap isu nepotisme boleh ditangani dengan penjelasan yang jujur dan berasaskan fakta. Nurul Izzah bukan naik kerana hubungan kekeluargaan tetapi kerana rekod prestasi, kelayakan akademik dan kepercayaan ahli parti. Beliau telah membina reputasi sendiri sebagai tokoh reformasi muda sejak dua dekad lalu, malah digelar “Puteri Reformasi” kerana peranannya dalam perjuangan keadilan pasca 1998.

Pelantikan beliau sebagai menteri akan memperkukuh naratif meritokrasi, bahawa hanya individu berwibawa dan berpengalaman layak menyertai barisan Kabinet. Dalam konteks Malaysia moden, keberanian memilih berdasarkan merit akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap iltizam Perdana Menteri untuk menolak politik warisan dan kronisme.

Dari perspektif antarabangsa, kemasukan tokoh berpendidikan tinggi dan berpengaruh seperti Nurul Izzah dalam Kabinet akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara reformis dan progresif. Ia akan meningkatkan keyakinan pelabur, organisasi pendidikan global serta masyarakat antarabangsa terhadap hala tuju pembaharuan Malaysia Madani yang menekankan meritokrasi dan integriti.

*Summugam Rengasamy adalah Penganalisis Politik yang telah menghasilkan tesis kedoktoran mengenai perkembangan perjuangan Agenda Gerakan Reformasi PKR di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!