One Hope Charity & Welfare sumbang barang keperluan hospital

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Badan kebajikan One Hope Charity & Welfare memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk membeli kelengkapan aset perubatan kritikal dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kepada wira barisan hadapan yang bertugas di negeri itu.

Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, pihaknya terpanggil untuk menyumbang kepada usaha kerajaan dalam membanteras ancaman koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan ketika ini.

Menurutnya, apa yang membuatkan pihaknya tersentuh apabila melihat beberapa video dan gambar yang tular di laman sosial yang memaparkan beberapa kakitangan hospital terpaksa menggunakan plastik membungkus makanan untuk menutup kepala mereka sementara menunggu PPE.

"Pada saat genting ini, One Hope Charity & Welfare memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi fasa pertama untuk pembelian aset perubatan kritikal dan PPE.

"Kami sedang berusaha mencari dan mendapatkan bekalan aset perubatan kritikal yang diperlukan oleh Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Seberang Jaya (HSJ), Hospital Bukit Mertajam, Hospital Kepala Batas (HKB) serta klinik kesihatan di negeri ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Selain itu, Sui Hau berkata sebanyak 10,000 PPE dan 200,000 topeng muka (perubatan/pembedahan) akan dibekalkan kepada hospital dan klinik di negeri ini selain akan turut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) secara berkala dalam masa terdekat.

"Bantuan itu hasil sumbangan masyarakat yang bersatu hati untuk menjadikan One Hope Charity sebagai saluran mereka untuk melakukan kerja kebajikan.

"Diharapkan dengan bantuan aset perubatan kritikal dan PPE ini dapat sedikit sebanyak membantu Kementerian Kesihatan untuk membendung Covid-19." katanya.

Artikel Berkaitan: