'Saya tak lari, saya datang bantu siasatan' - Namewee

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee, atau lebih dikenali sebagai Namewee dipercayai tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini pada 22 Oktober lalu.
Namewee yang memuat naik status di Facebook berkata, dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
“Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan serta memberikan penjelasan kepada orang ramai dan keluarga wanita itu.
"Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, sebelum ini pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaaan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, Namewee difahamkan berada di lokasi itu ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, siasatan masih berjalan dan melihat dari semua sudut termasuk individu terakhir yang bersama mangsa akan disiasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Namewee akan direman di IPD Dang Wangi pagi ini.
Ringkasan AI
- Namewee tampil ke IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan kematian pempengaruh wanita Taiwan
- Baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru
- Berkata akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan
- Kes kematian seorang wanita warga Taiwan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Siasatan masih berjalan, semua sudut termasuk individu terakhir bersama mangsa disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
