Polis Selangor akan tambah keanggotaan perkukuh PKP

A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor akan menambah keanggotaannya di setiap kawasan di negeri ini jika berkeperluan dalam usaha memastikan rantaian penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) dapat dibendung di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya bersiap siaga dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Penugasan kita di setiap kawasan semakin bertambah termasuk di kawasan sekatan jalan raya, pusat kuarantin dan kawasan lain.

"Jadi kita akan cuba menambah anggota di kawasan yang diperlukan memandangkan Selangor antara kawasan yang besar dan mempunyai liputan yang luas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, dalam sekatan jalan raya di Gombak semalam, terdapat pemandu yang merempuh sekatan jalan raya ekoran sikap tidak sabar.

"Tiada kecederaan dilaporkan. Individu itu mungkin tidak sabar kerana menunggu lama namun tiada perkara serius berlaku," katanya.

Arjunaidi berkata, penugasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi menyeluruh dan mengetuai operasi dalam PKP dan dibantu pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita juga turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam usaha memastikan PKP dapat dipatuhi. Lagipun keadaan kita bukan dalam darurat namun dalam PKP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam setiap satu masa di sekatan jalan raya tidak kurang 60 sekatan dilakukan pihak kontinjen Selangor ketika PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

“Maka kita harap dengan usaha ini orang ramai juga dapat mematuhi arahan PKP yang diwartakan kerajaan dan kita harap dapat membasmi wabak Covid-19," katanya.