Wanita diserang, emas 2 kilogram dilarikan ketika mahu dijual

JAKARTA – Seorang wanita nyaris maut selepas diserang sekumpulan individu ketika berurusan untuk menjual emas seberat dua kilogram (kg) di sebuah hotel di Cengkareng, Jakarta Barat, baru-baru ini.
Menurut laporan saluran berita Lambe Turah, mangsa yang dikenali sebagai AG pada awalnya bersetuju untuk melakukan urus niaga jual beli emas dengan bakal pembeli di Pancoran, Jakarta Selatan, sebelum lokasi pertemuan ditukar ke hotel berkenaan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya, Pesuruhjaya Kanan Polis Budi Hermanto berkata, mangsa diminta memasuki sebuah bilik hotel sebaik tiba di lokasi atas alasan emas berkenaan perlu diperiksa ketulenannya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian diserang beberapa individu yang cuba menekup mukanya dan menutup mulutnya menggunakan pita pelekat.
“Semasa proses pemeriksaan emas di bilik hotel, mangsa diserang dengan muka ditekup dan mulutnya cuba ditampal menggunakan pita pelekat oleh suspek,” katanya kepada pemberita semalam.
Mangsa bagaimanapun berjaya melawan dan menyelamatkan diri, namun emas seberat 2kg miliknya dilarikan suspek.
Dalam usaha melarikan diri, dua suspek nekad terjun dari tingkat dua hotel berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan premis itu.
Budi berkata, hasil siasatan mendapati seramai empat individu disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
