Kecekalan teras kekuatan Naz Bakery dalam industri bakeri tempatan

IPOH - Ketabahan dan kecekalan menjadi kunci utama buat seorang usahawan bakeri dalam memastikan perniagaannya kekal bertahan meskipun terpaksa berpindah sebanyak 11 kali sejak mula berniaga lebih dua dekad lalu.
Nazlil Zita Lot Ismail, 53, yang memiliki Naz Bakery yang kini beroperasi di Taman Meru Perdana 2, Ipoh itu mengakui perjalanan 26 tahun dalam dunia bakeri bukan mudah.
“Sejak mula pada tahun 1999, saya hanya berniaga dari rumah di Batu Gajah menggunakan modal sendiri tanpa pinjaman mana-mana pihak. Ketika itu, orang masih skeptikal dengan usahawan Melayu dalam bidang bakeri walaupun saya lulusan Certificate In Estern and Western Diploma in Chef Training Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pernah bekerja di beberapa hotel di Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh dan Pulau Pangkor.
“Dari rumah, saya berpindah ke Puncak Jelapang, kemudian ke Manjung, Seri Iskandar, dan beberapa lokasi lain sebelum akhirnya menetap di Meru Perdana ini kerana mahu menjaga ibu. Setiap kali berpindah saya belajar sesuatu baharu tentang pasaran, pelanggan dan strategi jualan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Nazlil Zita berkata, perniagaannya 11 kali berpindah disebabkan pelbagai faktor yang tidak boleh dielakkan selain strategi perniagaan yang menuntut pengorbanan besar bukan sahaja dari segi tenaga dan masa, malah kewangan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara bantuan diterima termasuklah daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan terbaharu Sekretariat Usahawan Perak (STeP) yang menyediakan geran RM10,000 bagi tujuan pensijilan halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Nazlil Zita kini berhasrat menumpukan perhatian kepada produk utama yang menjadi identiti bakerinya, iaitu Portuguese Egg Tart dan pelbagai jenis pastri premium di bawah jenama Nas Pastry.
“Produk ini memang laris di mana mana. Setiap kali musim perayaan, jualan kami mencecah sehingga RM40,000 terutamanya biskut seperti Red Velvet dan Biscoff.

“Pelanggan kami bukan saja dari Perak tetapi juga Kuala Lumpur dan luar negara melalui platform seperti Google Business,” katanya.
Menurutnya, Naz Bakery kini dalam proses mengukuhkan kehadiran di platform digital seperti TikTok, Facebook dan GrabFood bagi menarik pelanggan muda serta memperluas capaian pasaran dengan bantuan anaknya yang akan meneruskan perniagaan tersebut.
Nazlil Zita merupakan sebahagian usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diberikan perhatian oleh kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad untuk terus berjaya.
Selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mahu memastikan sasaran Sejahtera Ekonomi dan Sejahtera Sosial dicapai dengan tumpuan kepada pembangunan keusahawanan tempatan terutama dalam sektor makanan serta PMKS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
