Universiti Korea Selatan tolak pemohon ada rekod buli di sekolah

Kemasukan ke universiti di Korea Selatan hanya kepada mereka yang tiada rekod buli. - Agensi
Kemasukan ke universiti di Korea Selatan hanya kepada mereka yang tiada rekod buli. - Agensi
A
A
A

SEOUL – Semua universiti di Korea Selatan akan menolak pemohon yang mempunyai rekod keganasan atau buli di sekolah bermula tahun 2026 sekali gus menjadi langkah baharu yang menandakan perubahan besar dalam dasar pendidikan negara itu.

Menurut data daripada pejabat Ahli Parlimen Parti Membina Semula Korea, Kang Kyung-sook, enam daripada 10 universiti utama negara itu menolak 45 pemohon dalam kemasukan 2025 kerana mempunyai rekod keganasan sekolah.

Antara yang terlibat ialah dua pemohon ke Universiti Kebangsaan Seoul dan 22 ke Universiti Kyungpook, yang memperkenalkan sistem pemotongan markah ketat bagi menilai sejarah disiplin pelajar.

“Standard semakin tinggi dan pelaku keganasan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka,” kata seorang pegawai kemasukan universiti.

Korea Selatan mengelaskan kesalahan keganasan sekolah daripada Tahap Satu (permohonan maaf bertulis) hingga Tahap Sembilan (buang sekolah). Jika dahulu kes ringan diselesaikan secara dalaman melalui perdamaian antara pelajar dan ibu bapa, kini rekod dari Tahap Enam ke atas wajib direkodkan secara kekal dalam fail pelajar.

Universiti Kyungpook misalnya mengenakan pemotongan 10 markah bagi Tahap Satu hingga Tiga, 50 markah bagi Tahap Empat hingga Tujuh, dan 150 markah bagi kes pemindahan atau buang sekolah. Kesemua 22 pemohon yang ditolak gagal melepasi penalti tersebut, termasuk calon dalam bidang akademik, seni dan sukan.

“Buli sekolah bukan hanya salah laku peribadi, ia satu pelanggaran kepercayaan sosial.

“Kami percaya universiti bertanggungjawab menegakkan nilai kemasyarakatan," kata kenyataan universiti berkenaan.

Dasar itu turut diterapkan oleh 10 kolej latihan guru negara termasuk Universiti Pendidikan Seoul, Busan dan Gyeongin yang akan mula menolak terus pemohon dengan rekod buli tanpa mengira tahap kesalahan mulai tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Langkah tegas tersebut lahir daripada perubahan budaya yang semakin menolak toleransi terhadap keganasan sekolah, selepas beberapa kes berprofil tinggi termasuk kematian akibat buli dan kesedaran awam yang meningkat menerusi siri popular The Glory di Netflix.

“Dulu keganasan sekolah dianggap isu peribadi, kini ia dilihat sebagai pelanggaran hak asasi,” kata seorang guru sekolah menengah di Seoul.

Rekod keganasan sekolah di Korea Selatan kekal dalam dokumen rasmi sehingga dua tahun selepas tamat persekolahan dan bagi kes buang sekolah direkodkan secara kekal. Ia boleh menjejaskan peluang kemasukan ke universiti, pekerjaan sektor awam serta swasta. - Agensi

Ringkasan AI

  • Semua universiti di Korea Selatan akan menolak pemohon dengan rekod keganasan atau buli di sekolah bermula tahun 2026
  • Enam daripada 10 universiti utama di Korea Selatan menolak 45 pemohon dalam kemasukan 2025 kerana rekod keganasan sekolah
  • Universiti Kyungpook mengenakan pemotongan markah bagi pelajar dengan rekod keganasan atau buli
  • Rekod dari Tahap Enam ke atas atas kes keganasan sekolah wajib direkodkan secara kekal dalam fail pelajar
  • Dasar penolakan pemohon dengan rekod buli di universiti dan kolej latihan guru bertujuan menegakkan nilai kemasyarakatan dan memerangi toleransi terhadap keganasan sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!