'Buli kini bukan hanya fizikal tapi juga siber' - Polis

KUALA LUMPUR - Semua pihak digesa membanteras budaya buli kerana ia bukan sahaja satu bentuk keganasan malah boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, fenomena buli bukan hanya melibatkan kekerasan fizikal malah turut berkembang dalam bentuk buli siber.
"Perkara berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan meninggalkan kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa.
“Isu buli berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kekurangan penghayatan nilai agama, kurangnya perhatian ibu bapa dan pengaruh media sosial serta rakan sebaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pencegahan Jenayah Institusi Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Mohd Azani berkata, peranan guru dan pelajar amat penting sebagai benteng pertama dalam menangani sebarang bentuk pengaruh negatif yang boleh menggugat keselamatan serta keharmonian masyarakat.
"Usaha pencegahan jenayah tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu bermula daripada pembentukan akhlak, moral dan kefahaman agama dalam kalangan generasi muda.
“Saya menyeru orang ramai bersama-sama hentikan budaya buli kerana buli merupakan satu bentuk keganasan yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan atau ancaman jenayah,” katanya.
Ringkasan AI
- Semua pihak digesa membanteras budaya buli kerana merupakan bentuk keganasan dan kesalahan jenayah
- Fenomena buli tidak hanya melibatkan kekerasan fizikal tetapi juga berkembang dalam bentuk buli siber
- Buli boleh berlaku pada bila-bila masa dan meninggalkan kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
