'Ini satu kekejaman kepada pekerja'


KLANG - "Pekerja tidak dibayar selepas bekerja tiga hingga empat jam kerana pulang awal atas urusan kecemasan selain tiada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)."
Itu antara aduan yang diterima menerusi Op Kurier di sebuah gudang logistik di Pulau Indah di sini pada Selasa.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ramai pekerja mengadu mereka tidak dibayar caruman PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, hasil pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mendapati terdapat kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 iaitu waktu kerja melebihi 45 jam seminggu, bayaran kerja lebih masa yang tidak mencukupi dan tiada penyata gaji serta kontrak perkhidmatan diberikan kepada pekerja.
"Ada pekerja yang bekerja tiga hingga empat jam, namun ada masalah yang tidak dapat dielakkan membabitkan kematian ibu bapa atau isteri hendak bersalin, jadi pekerja ini minta izin untuk pulang awal namun langsung tidak dibayar sedangkan mereka sudah bekerja, ini satu kekejaman kepada pekerja.
"Kemudian ada ramai tidak dibayar SOCSO (PERKESO) dan KWSP malah ada yang kemalangan dan meninggal dunia tetapi tidak dapat apa-apa (pampasan). Sepatutnya bayarlah SOCSO mereka, nanti kami uruskan kerana kita ada pencen ilat, pencen penakat.
"Perkara ini memang berlaku, saya sudah minta pegawai dalam masa seminggu ini untuk memanggil semua vendor dan majikan mereka untuk melihat semua perkara ini termasuk kemukakan slip gaji pekerja," katanya selepas operasi berkenaan pada Selasa.
Beliau berkata, selain itu, terdapat juga kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 di mana majikan tidak mendapatkan sijil perakuan penginapan daripada JTKSM.
Operasi Bersepadu JTKSM bermula kira-kira jam 10 pagi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), PERKESO, KWSP dan polis.
Turut hadir Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, setakat September tahun ini sebanyak 353 kes di seluruh negara telah didakwa dengan denda RM138,000 dan 501 kompaun bernilai RM2.87 juta berkaitan akta perburuhan.
Katanya, ia susulan 488 operasi penguatkuasaan perburuhan yang dilaksanakan JTKSM bagi memastikan pematuhan akta-akta yang dikuatkuasakan jabatan.
"Sebanyak 490 kertas siasatan telah dibuka berikutan kegagalan majikan mematuhi akta-akta perburuhan," ujarnya.
Tambah beliau, kebanyakan kesalahan yang dikesan antaranya kegagalan majikan mencarum PERKESO dan KWSP serta tidak mematuhi kadar gaji minimum.
Abdul Rahman menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang menindas pekerja tempatan mahupun asing.
"Kementerian ingin menegaskan bahawa majikan hendaklah peka terhadap undang-undang perburuhan semasa dan memastikan agar pematuhan terhadap undang-undang sentiasa dipatuhi bagi memastikan kesejahteraan pekerja," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pekerja tidak dibayar selepas bekerja tiga hingga empat jam kerana pulang awal
- Ramai pekerja mengadu tidak dibayar caruman PERKESO dan KWSP
- Terdapat kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 termasuk waktu kerja melebihi 45 jam seminggu
- Operasi Bersepadu JTKSM bermula untuk menyiasat kesalahan majikan termasuk tidak mendapatkan sijil perakuan penginapan
- Sebanyak 353 kes telah didakwa dengan denda dan kompaun berkaitan akta perburuhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
