Kerajaan Johor kecualikan bayaran lesen perniagaan selama setahun

Hasni mengumumkan 15 insentif baharu dengan peruntukan RM17.5 juta bertujuan meringankan beban rakyat negeri ini yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini hari ini.
Hasni mengumumkan 15 insentif baharu dengan peruntukan RM17.5 juta bertujuan meringankan beban rakyat negeri ini yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selama setahun bermula Januari hingga Disember ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini yang membabitkan 15 insentif baharu dengan peruntukan RM17.5 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ehsan Johor.

Menurut Hasni, ia merupakan insentif tambahan dan akan diperluaskan kepada PKS kategori mikro yang berdaftar dan memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri berjumlah 11,737.

"Bagi peniaga yang telah membuat pembayaran lesen perniagaan bagi tahun ini, ia akan diselaraskan dengan bayaran lesen perniagaan tahun 2021 melibatkan anggaran kos sebanyak RM2.3 juta.

"Sementara itu bagi mengurangkan beban golongan peniaga kecil, kerajaan negeri bersetuju memberi pengecualian bayaran tapak perniagaan pasar tani, pasar malam dan pasar pagi di kawasan PBT seluruh Johor mulai April hingga Oktober 2020.

"Ia melibatkan 1,660 peniaga pasar tani serta 34,821 peniaga pasar pagi dan pasar malam di kawasan PBT dengan kos dianggarkan sebanyak RM2.8 juta," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri meminta PBT seluruh negeri menyalurkan dana untuk pembelian topeng muka bagi rakyat Johor yang terpaksa bekerja dan bertugas dalam perkhidmatan perlu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Pada masa sama ujarnya, semua PBT diarahkan untuk meningkatkan perbelanjaan sejajar usaha memperluaskan pelaksanaan kerja-kerja disinfeksi dan sterilisasi di sekitar kawasan yang berisiko terdedah kepada virus koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, tempoh bayaran cukai tanah dilanjutkan sehingga 30 September ini dan pengenaan denda lewat cukai tanah bagi tahun ini juga hanya akan dikenakan bermula 1 Oktober 2020.

"Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengecualian bayaran pendaftaran atas urusan turun milik akibat kematian yang berpunca daripada wabak Covid-19. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada waris si mati apabila berurusan di pentadbiran tanah Johor.

"Kerajaan negeri juga bersetuju mengecualikan semua denda lewat bagi mana-mana perserahan yang tamat tempoh sepanjang masa PKP dikuatkuasakan," katanya dan akan memberikan perlanjutan tempoh selama sebulan bagi sebarang surat kebenaran pindah milik, gadaian mahupun pajakan yang tamat tempoh semasa PKP dikuatkuasakan.

Ujarnya, kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan Inisiatif Pentadbiran Tanah Johor bagi permohonan tanah-tanah yang tiada kategori sehingga 30 Jun 2020.