'JDT ibarat pasukan Sepanyol' - Slutskiy

Slutskiy pada sidang akhbar menjelang perlawanan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. Foto Bernama
Slutskiy pada sidang akhbar menjelang perlawanan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ibarat 'pasukan ala Sepanyol' menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Slutskiy, yang pernah membimbing CSKA Moscow dan Hull City, mengakui kagum dengan corak permainan dimiliki skuad Harimau Selatan yang disifatkannya sangat tersusun, penuh teknikal serta memiliki identiti tersendiri di rantau Asia Tenggara.

“Apabila saya menonton aksi JDT, saya lihat gaya mereka hampir sama seperti kelab dari Sepanyol yang menitikberatkan penguasaan bola, pergerakan pantas dan kombinasi yang sangat baik di kawasan lawan.

"Kekuatan terbesar JDT ialah disiplin taktikal serta kemampuan menukar tempo permainan dengan cepat; sesuatu yang jarang dimiliki kelab Asia Tenggara lain. Mereka juga tidak bermain secara long ball atau secara fizikal semata-mata.

"Sebaliknya, mereka sabar membina serangan dari bawah, seolah-olah menonton pasukan LaLiga. Ini membuatkan kami perlu beraksi lebih berhati-hati dan fokus sepanjang 90 minit nanti,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan.

Dalam pada itu, Slutskiy turut menegaskan skuad Tricolor The Flower of Shanghai itu tidak boleh memandang rendah lawan, sambil menyifatkan pertemuan menentang skuad Harimau Selatan sebagai ujian sebenar tahap pasukannya di pentas Asia.

“Kami menghormati JDT, mereka mempunyai organisasi kelab yang moden dan pemain yang sangat baik, termasuk beberapa import berkualiti.

"Jadi, ini bukan perlawanan balas dendam. Kami tewas musim lalu tanpa dibarisi pemain-pemain utama tetapi sekarang, kami bersedia dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan menarik untuk penyokong,” tambahnya.

Sementara itu, penjaga gol Shanghai Shenhua, Zhou Zhengkai, berkata dia serta rakan sepasukan bersedia berdepan skuad Harimau Selatan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, mereka telah melakukan persiapan rapi termasuk memantapkan benteng pertahanan.

"Kami juga bersedia dengan situasi hantaran bola mati (set pieces) daripada JDT," katanya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy menyamakan gaya permainan JDT dengan kelab Sepanyol
  • Slutskiy kagum dengan corak permainan JDT yang tersusun dan beridentiti kuat di Asia Tenggara
  • Beliau menyatakan JDT memiliki disiplin taktikal yang kuat dan mampu mengubah tempo permainan dengan cepat
  • Slutskiy menegaskan pasukannya tidak boleh memandang rendah JDT dan mempersiapkan diri untuk perlawanan penting
  • Penjaga gol Shanghai Shenhua, Zhou Zhengkai, menyatakan pasukannya telah bersiap sedia, termasuk memantapkan pertahanan dan persiapan untuk situasi hantaran bola mati dari JDT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!