Permainan B4U tarik perhatian pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf

SHAH ALAM – Bantuan Untuk Anda (B4U) merupakan antara permainan yang paling menarik perhatian pengunjung sejak tirai Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 dibuka pada Jumaat.
Penyelaras B4U, Nurul Riduan Nor Ashaha berkata, konsep permainan itu membolehkan orang ramai yang membeli akhbar Sinar Harian berharga RM2 senaskhah menyertai permainan, sekali gus menebus hadiah berupa barangan keperluan asas.

Menurutnya, meskipun hadiah yang ditawarkan hanya melibatkan barangan seperti sekampit beras, gula, kicap, garam, sos cili, biskut, sabun mandi, susu tin dan lain-lain, ia tetap memberikan pengalaman manis kepada pengunjung yang terhibur dengan konsep berkenaan.
Katanya, pengunjung yang berminat hanya perlu membeli senaskhah Sinar Harian untuk memperoleh sebiji bola sebagai syarat penyertaan permainan B4U.
“Melalui permainan ini, mereka berpeluang memenangi barangan keperluan asas secara rawak.
“Caranya mudah, iaitu mereka hanya perlu menggolekkan bola di atas papan B4U. Lebih banyak bola, lebih banyak barang boleh dibawa pulang. Kami janji tiada siapa yang pulang dengan tangan kosong,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam dari Jumaat hingga Ahad ini menawarkan pelbagai acara menarik.
Antaranya termasuk rumah hantu, Pasar Saloma, permainan go-kart, pertandingan kawad kaki, koir, hari kantin sekolah dan jualan buku pada harga istimewa.
Sementara itu, Pengurus Pentadbiran, Emma Zaidi, 53, berpendapat permainan B4U amat menyeronokkan kerana pemain berpeluang membawa pulang pelbagai jenis keperluan asas.

Beliau yang datang dari Subang Jaya memberitahu, inisiatif sebegini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tanda penghargaan buat pembaca setia Sinar Harian.
Katanya, pada mulanya dia hanya memainkan tiga biji bola, namun keseronokan memaksanya menambah jumlah bola bagi meneruskan permainan.
“Kira-kira RM26 bersamaan 13 bola saya habiskan dan bawa pulang macam-macam keperluan asas termasuk biskut, gula serta kopi.
“Kalau di kedai runcit atau pasar raya, memang takkan dapat harga macam ini untuk 13 barang. Terima kasih banyak Sinar Harian,” ujarnya.
Pekerja swasta, Rosmawati Mohamad Adam, 42, berkata, ini merupakan kali kedua beliau membawa pulang barangan keperluan asas selepas Karnival Rakyat Karangkraf tahun lalu.

Menurutnya, permainan B4U amat berbaloi kerana dirinya hanya menghabiskan RM20 untuk memperoleh kicap, biskut, gula, garam, beras, susu tin dan banyak lagi.
“Saya pernah main B4U tahun lepas ketika Karnival Rakyat Karangkraf 2024, jadi ini kali kedua saya bermain.
“Boleh diumpamakan RM2 untuk beli surat khabar, dalam masa sama dapat barangan asas yang lazimnya dijual lebih daripada harga sebegitu. Sangat berbaloi bagi saya,” kata Rosmawati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

