Pengeluaran KWSP: Tak perlu ikut saranan asing

Cadangan menaikkan umur pengeluaran penuh KWSP kepada 65 tahun dilihat tidak selari dengan realiti rakyat Malaysia yang berdepan tekanan hidup dan kesihatan sejak usia 50-an. - Gambar hiasan
Cadangan menaikkan umur pengeluaran penuh KWSP kepada 65 tahun dilihat tidak selari dengan realiti rakyat Malaysia yang berdepan tekanan hidup dan kesihatan sejak usia 50-an. - Gambar hiasan
A
A
A

TIADA ribut, tiada khabar angin, tiba-tiba isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hangat diperbincangkan pada minggu lalu.

Ia selepas Bank Dunia mencadangkan agar had usia pengeluaran penuh simpanan dinaikkan kepada 65 tahun.

Ramai rakyat Malaysia yang mempunyai caruman dalam KWSP tidak bersetuju. Undian poll di pelbagai platform Sinar Harian juga menunjukkan hampir 90 peratus membantah. Ramai bimbang jika ia benar-benar dilaksanakan.

Cadangan berasaskan angka statistik semata-mata ini ibarat melihat dari atas menara tinggi, jauh dari denyut nadi dan realiti kehidupan sebenar pencarum yang bekerja keras sepanjang hayat.

Meskipun jangka hayat sihat rakyat boleh melepasi usia 65 tahun, hakikatnya tidak semua mampu menikmati usia emas dengan selesa.

Ramai terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah berdepan tekanan kos sara hidup, beban hutang serta masalah kesihatan seawal usia 50-an.

Menunggu sehingga 65 tahun untuk menikmati simpanan sendiri hanya akan menzalimi mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan (DOSM), purata jangka hayat rakyat negara ini bagi kedua-dua jantina ialah 75 tahun. Bermakna seseorang pencarum itu terpaksa bersusah payah menyimpan selama berpuluh-puluh tahun hanya untuk kegunaan 10 tahun hidup terakhir.

Kudrat semakin berkurangan dan keseronokan menikmati duit simpanan yang banyak pun mungkin sudah tidak ada lagi.

Artikel Berkaitan:

Pakar ekonomi juga menegaskan bahawa isu sebenar bukan pada umur pengeluaran tetapi pada kecukupan simpanan dan kuasa beli rakyat.

Jadi, kita perlulah berpijak di bumi nyata, bukan tunduk pada cadangan luar yang tidak memahami struktur sosial dan ekonomi tempatan. Pendekatan lebih realistik perlu diambil dengan mengekalkan had usia pengeluaran pada umur 55 tahun.

Jika mahu menggalakkan simpanan lebih lama, mungkin boleh beri insentif tambahan kepada ahli yang memilih menangguhkan pengeluaran hingga 65 tahun secara pilihan.

Bagaimanapun, kita usah bimbang kerana ia baru di peringkat cadangan Bank Dunia. Kita yakin dengan kebijaksanaan KWSP dalam menjaga kesejahteraan pencarum.

Sudah tentu KWSP akan menentukan dasar persaraan negara berdasarkan realiti rakyat Malaysia sendiri, bukan saranan asing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!