'Tak perlu sewa sekolah dua tiga kali jika bubar serentak' - Abdul Aziz

SHAH ALAM- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memainkan peranan untuk mendapatkan persetujuan dasar daripada kerajaan negeri supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat pada tarikh-tarikh yang hampir sama bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) dijalankan serentak.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan, SPR hanya menetapkan semua tarikh berkaitan pilihan raya selepas menerima pemakluman rasmi pembubaran daripada kerajaan Persekutuan atau negeri.
“Secara tradisinya dahulu semua pilihan raya umum diadakan secara serentak melibatkan Parlimen dan DUN di seluruh negara.
“Tapi bila ada negeri yang bubar DUN lebih awal, contohnya Sabah atau Melaka, maka tempoh pilihan raya mereka jadi berbeza,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas beliau, keadaan itu berlaku kerana setiap negeri mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN masing-masing, menyebabkan tarikh pembubaran dan tempoh pilihan raya tidak lagi selaras antara negeri.
Abdul Aziz berkata, jika pembubaran DUN dan Parlimen dibuat serentak, ia memberi banyak kelebihan dari segi kemudahan kepada pengundi dan kecekapan urusan SPR.
“Kalau serentak, pengundi luar kawasan hanya perlu balik sekali untuk mengundi Parlimen dan DUN. Pegawai SPR pun lebih mudah sebab kerja dibuat sekali,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan pilihan raya secara berasingan meningkatkan perbelanjaan kerana semua kemudahan dan tenaga kerja perlu digandakan setiap kali proses pilihan raya diadakan.
“Kalau buat berasingan, maknanya elaun, khemah, sewa sekolah dan tenaga kerja semua perlu ulang dua tiga kali. Kalau serentak, jimat banyak sebab semua buat sekali,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengakui keputusan untuk menyelaras tarikh pilihan raya antara negeri boleh dilakukan sekiranya kerajaan negeri bersepakat membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh hampir sama, bagi membolehkan SPR menguruskan pilihan raya secara serentak.
Ringkasan AI
- SPR boleh mendapatkan persetujuan dasar daripada kerajaan negeri untuk pembubaran DUN serentak membolehkan PRU dijalankan serentak
- SPR menetapkan tarikh pilihan raya selepas menerima pemakluman rasmi pembubaran daripada kerajaan Persekutuan atau negeri
- Negeri mempunyai kuasa membubarkan DUN menyebabkan tarikh pembubaran dan tempoh pilihan raya tidak selaras
- Pembubaran DUN dan Parlimen serentak memberi kelebihan kemudahan kepada pengundi dan kecekapan urusan SPR
- Pelaksanaan pilihan raya serentak dapat menjimatkan perbelanjaan kerana kemudahan dan tenaga kerja hanya perlu disiapkan sekali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
