Belanjawan Madani bukan janji politik

Ismail (kiri) ketika sesi temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya minggu lalu. Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ismail (kiri) ketika sesi temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya minggu lalu. Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Belanjawan Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bukan janji politik, sebaliknya dasar ekonomi yang dirangka untuk memperkukuh struktur fiskal negara serta menyalurkan manfaat secara saksama kepada rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan, persepsi bahawa setiap pembentangan belanjawan hanya bentuk janji politik perlu diperbetulkan kerana ia menggambarkan salah faham terhadap fungsi sebenar dasar fiskal kerajaan.

Menurutnya, belanjawan yang digubal bukan keputusan peribadi mana-mana pemimpin, sebaliknya hasil penelitian teknokrat dan pakar ekonomi yang menilai keupayaan kewangan negara, keutamaan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Kadang-kadang rakyat melihat belanjawan sebagai janji politik, bukan dasar ekonomi. Sebenarnya, setiap ringgit dibelanjakan datang daripada hasil negara dan perlu diurus secara bertanggungjawab, bukan berdasarkan kepentingan politik,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini.

Ismail menjelaskan, prinsip utama Belanjawan Madani ialah memastikan pertumbuhan ekonomi seiring dengan pengagihan manfaat yang adil dan inklusif, selaras dengan agenda membina negara makmur dan berdaya tahan.

“Kerajaan tidak boleh menjadikan belanjawan sebagai alat meraih sokongan jangka pendek. Sebaliknya, ia mesti menjadi instrumen yang membentuk kestabilan jangka panjang dan meningkatkan kecekapan pentadbiran,” tegasnya.

Belanjawan Madani Keempat bagi tahun 2026 memperuntukkan RM470 bilion yang merangkumi RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus Persekutuan, RM81 bilion untuk pembangunan Persekutuan dan RM30 bilion bagi pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Peruntukan itu bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan kekayaan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Ismail berkata, melalui pendekatan komunikasi lebih strategik, J-KOM memperjelaskan bahawa Belanjawan Madani bukan sekadar angka atau janji, tetapi pelan tindakan ekonomi yang terancang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat perlu melihat bagaimana setiap inisiatif di bawah belanjawan memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian seperti peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan jaminan sosial.

“Apabila rakyat memahami konteks dan hala tuju belanjawan, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan naratif bahawa ia hanyalah gimik politik. Inilah tanggungjawab komunikasi strategik yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya, setiap langkah penstrukturan subsidi, bantuan tunai dan dasar gaji progresif diumumkan adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk memastikan ekonomi negara kekal mampan.

Ringkasan AI

  • Belanjawan Madani adalah dasar ekonomi untuk memperkukuh struktur fiskal negara dan menyalurkan manfaat kepada rakyat menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Belanjawan bukan hasil keputusan peribadi tetapi penelitian teknokrat dan pakar ekonomi untuk kesejahteraan rakyat
  • Prinsip utama adalah pertumbuhan ekonomi bersama pengagihan manfaat yang adil dan inklusif
  • Belanjawan Madani Keempat RM470 bilion untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kekayaan untuk semua lapisan masyarakat
  • J-KOM berusaha menjelaskan bahwa belanjawan adalah pelan tindakan ekonomi bukan sekadar angka atau janji politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!