Syarikat penerbangan dikecam guna gelaran 'mak cik udara' untuk pramugari berkahwin

BEIJING - Sebuah syarikat penerbangan bajet China, Spring Airlines mencetuskan kontroversi selepas mengumumkan pengambilan pramugari wanita berkahwin dan bergelar ibu dengan memberi gelaran baharu kepada mereka sebagai ‘air aunties’ atau mak cik udara.
Syarikat berpangkalan di Shanghai itu menjelaskan bahawa wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun, khususnya yang sudah berkahwin atau mempunyai anak, lebih sesuai kerana 'mempunyai pengalaman hidup dan empati' untuk menjaga penumpang warga emas serta kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, gelaran mak cik udara itu menerima kritikan hebat di media sosial China, dengan ramai menyifatkannya sebagai menghina dan memperlekeh wanita kerana menonjolkan status perkahwinan serta usia mereka.
Spring Airlines mempertahankan tindakan tersebut dengan menyatakan tiada perbezaan dari segi gaji, tanggungjawab mahupun peluang kerjaya antara air aunties dan pramugari lain.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa istilah berkenaan pernah digunakan sejak 1990-an ketika industri penerbangan China mula mengambil pekerja wanita yang diberhentikan daripada kilang tekstil.
Ketika ini, Spring Airlines mempunyai 88 pramugari berkahwin, dengan 74 peratus daripada mereka telah dinaikkan ke jawatan pengurusan.
Namun, perdebatan terus hangat apabila ada pihak menyifatkan langkah itu sebagai progresif, manakala yang lain melihatnya sebagai simbol stereotaip jantina yang masih wujud dalam dunia pekerjaan moden. - Agensi
Ringkasan AI
- Spring Airlines, sebuah syarikat penerbangan bajet China, mencetuskan kontroversi dengan menggelar pramugari wanita berkahwin dan bergelar ibu sebagai 'air aunties' atau mak cik udara
- Wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun, khususnya yang sudah berkahwin atau mempunyai anak, dipilih kerana dianggap mempunyai pengalaman hidup dan empati
- Gelaran mak cik udara menerima kritikan hebat di media sosial China kerana dianggap menghina dan memperlekeh wanita
- Spring Airlines menyatakan tidak ada perbezaan dari segi gaji, tanggungjawab, atau peluang kerjaya antara air aunties dan pramugari lain
- Perdebatan tentang gelaran ini memuncak dengan ada yang menyifatkannya sebagai progresif dan yang lain sebagai simbol stereotaip jantina
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

