Tujuh pendaki terkandas di Bukit Larut diselamatkan, dua wanita kekajangan dan seorang terseliuh

IPOH - Seramai tujuh orang pendaki yang mana enam daripadanya wanita berjaya diselamatkan anggota bomba selepas mereka mengalami kesukaran ketika menuruni pusat peranginan Bukit Larut, Taiping, pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.53 petang.
Menurutnya, setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan terdapat tujuh mangsa berada di atas bukit dan seorang lagi lelaki telah turun ke kaki bukit untuk mendapatkan bantuan.
“Ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep LAST seterusnya mengarahkan anggota bersama-sama pihak polis dan pengurusan Bukit Larut ke lokasi di atas bukit bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, sewaktu di pertengahan jalan menuju ke lokasi mangsa dilaporkan berada, pasukan penyelamat telah bertemu dengan kesemua mangsa tersebut yang telah dibantu oleh orang awam sebagai penunjuk arah bagi menuruni bukit.
Menurutnya, dua orang wanita mengalami kekejangan dan seorang lagi wanita terseliuh kaki manakala tiga lagi wanita dan seorang lelaki berada dalam keadaan baik.
“Mangsa yang mengalami masalah kaki terseliuh telah diberi rawatan awal oleh pasukan penyelamat di lokasi dan seterusnya kesemua mangsa dibawa turun ke kaki bukit dengan selamat,” ujarnya.
Katanya, setelah tiba di kaki bukit, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping tamat sepenuhnya jam 9.50 malam. - Awani
Ringkasan AI
- Seramai tujuh orang pendaki diselamatkan di Bukit Larut, Taiping selepas mengalami kesukaran menuruni bukit
- Enam daripada mereka adalah wanita dan keselamatan mereka terjaga dengan bantuan anggota bomba
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.53 petang
- Dua wanita mengalami kekejangan dan seorang wanita terseliuh kaki
- Operasi penyelamatan melibatkan 10 anggota bomba tamat pada jam 9.50 malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
