Iran dedah mampu bina bom nuklear hanya dalam dua minggu

TEHERAN – Seorang tokoh konservatif Iran, Mohammad Javad Larijani mendedahkan bahawa negara itu memiliki keupayaan teknikal untuk menghasilkan bom nuklear dalam tempoh kurang dua minggu, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Larijani, bekas diplomat dan penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei berkata, keputusan itu berpaksikan fatwa Khamenei yang mengharamkan penggunaan senjata nuklear, berasaskan hukum Syiah yang kuat.
Katanya, Iran telah membangunkan doktrin baharu yang menekankan 'keupayaan tanpa penggunaan', sebuah pendekatan yang membolehkan negara itu mengekalkan kekuatan penangkis tanpa menyalahi prinsip agama.
Bagaimanapun, beliau mengkritik keras Perjanjian Nuklear 2015 (JCPOA), dengan menuduh doktrin diplomasi tersebut menyebabkan Iran “hilang keberanian dan terperangkap dalam tekanan Barat.”
“Perjanjian itu seolah-olah menyerahkan sebahagian hak kita demi menjaga hak yang lain,” katanya ketika berucap pada sebuah persidangan mengenai pemikiran Khamenei pada Sabtu.
Kenyataan Larijani dilihat mencerminkan pendirian Teheran yang sering mengimbangi antara penguasaan teknologi nuklear dan penegasan bahawa program itu kekal bersifat aman.
Namun, penganalisis antarabangsa menilai sikap 'mampu tetapi tidak mahu' ini menimbulkan ruang tafsiran strategik yang boleh dijadikan tekanan diplomatik terhadap kuasa Barat.
Ringkasan AI
- Teheran memiliki keupayaan teknikal untuk menghasilkan bom nuklear dalam kurang dua minggu
- Mohammad Javad Larijani mengatakan keputusan tidak menghasilkan bom nuklear berdasarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan senjata nuklear
- Iran membangunkan doktrin 'keupayaan tanpa penggunaan' untuk mengekalkan kekuatan penangkis tanpa menyalahi prinsip agama
- Larijani mengkritik Perjanjian Nuklear 2015, menuduhnya menyebabkan Iran hilang keberanian dan terperangkap dalam tekanan Barat
- Kenyataan Larijani mencerminkan pendirian Teheran yang mengimbangi antara penguasaan teknologi nuklear dan keamanan program nuklear
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

