X

Kindly register in order to view this article
!

Doa PM buat rakyat sebak...

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN,, bernama, PKP,
Seorang kakitangan Bernama kelihatan mengaminkan doa yang dibaca oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Bacaan doa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon perlindungan negara daripada wabak koronavirus (Covid-19) mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

Ramai daripada mereka yang mengikuti perutusan khas itu menyatakan demikian dalam catatan masing-masing dalam media sosial termasuk Facebook dan Instagram.

Semasa memimpin bacaan doa itu, Muhyiddin memulakannya dengan surah al-Fatihah disusuli doa memohon kepada ALLAH SWT agar mengampuni dosa umat manusia serta melindungi mereka daripada penyakit dan wabak berbahaya.

“Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim. Engkau ampunilah dosa-dosa kami. Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami. Engkau lindungilah hamba-hambaMU yang kerdil ini dari segala musibah. Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang berbahaya dan wabak yang mengancam nyawa. Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.

“Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim. Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaanMU yang berat ini. Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami. Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami, Ya ALLAH, tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepadaMU,” kata Muhyiddin dalam doanya.

Perdana Menteri turut berdoa memohon agar ALLAH SWT memberi kesembuhan kepada mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 sambil memuji kekuasaan ALLAH SWT terhadap hambaNYA.

“Ya ALLAH Ya Rahman Ya Syaafi. Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak koronavirus walau di mana sahaja mereka berada. Sesungguhnya, tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya ALLAH.

“Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya ALLAH. Kami bermohon kepadaMU Ya ALLAH Lindungilah kami. Selamatkanlah kami. Sejahterakanlah hidup kami,” kata Muhyddin dalam doa beliau.

Perdana Menteri kemudian mengakhiri doa dan Perutusan Khas itu dengan sebaris doa pelindung yang bermaksud: “Dengan nama ALLAH yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi atau di langit. Dan, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Pada awal perutusan beliau itu, Muhyiddin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Pelanjutan tempoh itu diumumkan lebih awal supaya rakyat dapat lebih bersedia, katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!