Mayat tidak sempurna ditemui di tepi sungai

SUBANG JAYA - Mayat seorang lelaki ditemui di tepi sungai berhampiran sebuah kolej swasta di Bandar Sunway di sini pada Jumaat.
Mayat yang ditemui oleh orang awam sekitar jam 7.10 malam itu didapati hanya memakai seluar panjang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki terbabit dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh yang lama berdasarkan keadaan fizikalnya.
"Pada masa ini, identiti lelaki itu tidak dapat dikenal pasti disebabkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
"Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan kerana keadaan mayat yang tidak sempurna," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Azlan berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
"Saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-56212222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (Subang Jaya) di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Mayat seorang lelaki ditemui di tepi sungai berhampiran sebuah kolej swasta di Bandar Sunway
- Orang awam menemui mayat tersebut sekitar jam 7.10 malam
- Lelaki tersebut dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh yang lama
- Identiti lelaki itu tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri
- Mayat dihantar ke PPUM untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
