Pergerakan Najib hampir lapan jam patuhi SOP tahanan rumah - Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR - Pergerakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di luar kediamannya selama hampir lapan jam hari ini adalah bagi memenuhi beberapa urusan termasuk pemeriksaan kesihatan, solat Jumaat dan program pemulihan, menurut Jabatan Penjara Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan pergerakan Najib bermula jam 10.25 pagi hingga 6.25 petang dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard serta syarat tahanan rumah yang ditetapkan.
Menurut jabatan itu, sepanjang tempoh berkenaan, Najib menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur.
Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang diikuti sesi pengajian al-Quran bersama dengan ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan menghadiri sesi kaunseling bersama dengan Pegawai Psikologi di penjara berkenaan.
"Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang," menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan bahawa pergerakan Najib dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang ditetapkan selain tertakluk kepada kawalan serta seliaan jabatan berkenaan.
Kenyataan itu memaklumkan aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi adalah antara aspek yang diberikan perhatian dalam pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.
"Jabatan Penjara Malaysia akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan Najib dilihat meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta pada sebelah pagi dan hanya kembali pada lewat petang sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan serta tempoh pergerakan beliau di luar kediaman.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
