Bagasi mencurigakan ditemui dekat KLCC

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah beg bagasi mencurigakan di hentian bas berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini malam ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan objek berkenaan pada jam 7.17 malam.
Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit K9 dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mengawal keadaan.
"Hasil pemeriksaan mengesahkan tiada sebarang ancaman bom di dalam bagasi itu dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, tular di media sosial termasuk aplikasi Threads beberapa hantaran mengenai situasi di hadapan pusat beli-belah berkenaan yang memaparkan kehadiran anggota dan kenderaan polis.
Hantaran itu turut memaparkan keadaan kesesakan lalu lintas serta penutupan jalan di pintu masuk utama bangunan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Azwan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
