RTM tersilap sebut nama pemimpin: Jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan - Fahmi

SHAH ALAM – Jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kesilapan pengulas siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ditubuhkan bagi meneliti punca sebenar insiden berkenaan.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dari aspek tadbir urus serta disiplin yang perlu diperbaiki.
"Saya telah meminta supaya pihak kementerian memulakan siasatan dalaman untuk meneliti keseluruhan isu yang berbangkit dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat aspek yang perlu diperketatkan.
“Kita telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat perkara ini, dan beri sedikit masa kepada mereka untuk menjalankan tugas,” katanya pada sidang media pada Sabtu.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku semasa siaran langsung RTM pada sesi ucapan pemimpin ASEAN di Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut beliau, kementerian akan memastikan siasatan berjalan secara telus dan langkah penambahbaikan dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia, Ibu Meutya Viada Hafid bagi memberikan penjelasan serta menyampaikan permohonan maaf secara rasmi atas kekhilafan tersebut.
“Beliau menerima permohonan itu dengan baik, dan saya juga telah mengutuskan surat rasmi kepada beliau. Saya percaya isu ini dapat diuruskan dengan tertib serta tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, berlaku kesilapan oleh pengulas RTM menyebut nama Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia, sedangkan pemimpin negara itu ketika ini ialah Prabowo Subianto.
Selain itu berlaku kesilapan pengulas siaran yang tersilap menyebut nama Perdana Menteri Singapura sebagai Lee Hsien Loong, sedangkan Perdana Menteri Singapura terkini ialah Lawrence Wong.
Kesalahan juga dilakukan dengan menyebut nama Perdana Menteri Thailand sebagai Srettha Thavisin dan bukan Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Thailandterkini.
RTM turut memohon maaf atas kesilapan berkenaan ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ringkasan AI
- Jawatankuasa siasatan dalaman RTM ditubuhkan berhubung kesilapan pengulas siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
- Jawatankuasa diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi untuk mengenal pasti kelemahan tadbir urus
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meminta siasatan dalaman dan tindakan penambahbaikan
- Kementerian berjanji siasatan akan berjalan secara telus dan memastikan kejadian serupa tidak berulang
- Kesilapan pengulas RTM menyebut nama Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia sedangkan yang sebenarnya ialah Prabowo Subianto
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

