PKR Tambun lapor polis individu muat naik gambar hina PMX

Kalaimughilan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap tindakan seorang individu memuat naik gambar menghina Anwar di IPD Ipoh pada Jumaat.
Kalaimughilan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap tindakan seorang individu memuat naik gambar menghina Anwar di IPD Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun membuat laporan polis berhubung penyebaran satu grafik menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai kakitangan sebuah bank di media sosial.

Timbalan Ketua PKR Cabang Tambun, Kalaimughilan Arjunan berkata, tindakan individu berkenaan yang memuat naik grafik menggambarkan Perdana Menteri berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur keagamaan Hindu dianggap sebagai satu bentuk penghinaan serius terhadap pemimpin nombor satu negara itu.

Menurutnya, penghinaan seumpama itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak walaupun tidak menyukai kerajaan mahupun Perdana Menteri.

“Kami melihat perkara ini amat serius dan perlu dihentikan segera. Dalam sejarah pentadbiran negara, tidak pernah tahap penghinaan terhadap seorang Perdana Menteri setinggi ini seperti yang berlaku semasa pimpinan Datuk Seri Anwar.

“Sebab itulah kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat.

Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang, R Elengovan yang turut disertai Ketua PKR Cabang Tambun, Shamsul Kamar Ani serta beberapa ahli jawatankuasa cabang berkenaan.

Sementara itu, Kalaimughilan turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Tambahnya, Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang menjamin kebebasan bersuara, namun ia mesti diamalkan secara berhemah dan tidak melampaui batas hingga mencemarkan nama baik pemimpin negara.

“Kalau ada pandangan atau kritikan terhadap kerajaan, gunakan cara yang betul. Berhujah dengan fakta dan prestasi, bukan melalui penghinaan.

Artikel Berkaitan:

“Negara kita mendapat perhatian dunia ketika Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini disebabkan Datuk Seri Anwar, tetapi rakyat kita sendiri menghina pemimpin negara,” katanya.

Kalaimughilan turut menegaskan laporan polis itu dibuat bukan sekadar mempertahankan Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Tambun, tetapi bagi memastikan insiden sebegini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab di media sosial.

Ringkasan AI

  • PKR Cabang Tambun membuat laporan polis tentang penyebaran grafik menghina PM Anwar Ibrahim di media sosial oleh wanita dipercayai kakitangan bank
  • Grafik menunjukkan PM berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur Hindu, dianggap penghinaan serius
  • Tindakan tersebut dikritik keras oleh timbalan ketua PKR Tambun, menyebut ia sebagai tahap penghinaan belum pernah terjadi terhadap mana-mana Perdana Menteri Malaysia
  • Kalaimughilan menggesa PDRM dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun untuk mengelakkan penghinaan sejenis
  • Laporan polis dibuat sebagai langkah mempertahankan maruah PM dan mengajar rakyat bertanggungjawab di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!