X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki mengaku rompak juruwang semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Mahkamah. - Foto Sumber Internet
A
A

KUALA LUMPUR- Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19), seorang lelaki merompak seorang juruwang bersenjatakan sebilah pisau di sebuah kedai serbaneka, Ahad lepas.

Mohd Noor Marhan Mat, 40, penganggur, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi di sini, hari ini.

Tertuduh didakwa telah merompak seorang lelaki warga Bangladesh Sabuj Md, 34, bersenjatakan sebilah pisau di sebuah KK Mart di Jalan Pahang, di sini pada 4.30 petang, 22 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.

Sementara itu, seorang tukang masak warga Indonesia dihukum penjara empat minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang pemandu.

Majistret, Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Henilis Kamaruddin, 47, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkap pada 16 Mac lepas.

Wanita itu didakwa telah mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM400 di sebuah kafe di Bayu Tasik 2 Kondominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini pada 10 malam, 15 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai anak di Indonesia dan tiada ahli keluarga yang hadir ke mahkamah untuk membayar denda.-Bernama