Mengapa Cambodia boleh, Malaysia tak boleh?

MENGAPA Cambodia boleh, Malaysia tak boleh? Saya minta semua tengok kandungan perjanjian antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta perjanjian antara Amerika Syarikat dan Cambodia.
Kedua-dua perjanjian dimeterai pada hari yang sama waktu Sidang Kemuncak ASEAN sedang berlangsung. Kedua-dua negara sebelum ini dikenakan 19 peratus tarif.
Tetapi kedudukan kedaulatan dalam artikel 5.11 berbeza. Apabila kita lihat Artikel 5.1 bagi perjanjian antara Amerika Syarikat dan Cambodia, ia menggunakan ayat: "Cambodia shall regulate in a manner that does not infringe on Cambodia’s sovereign interest".
Maksudnya jelas, Cambodia hanya perlu mengambil langkah yang sama seperti Amerika Syarikat sekiranya ia tidak menjejaskan kepentingan atas kedaulatan negaranya.
Artikel 5.1 bagi perjanjian antara Amerika Syarikat dan Malaysia pula tiada perkataan yang sama. Artikel 5.1 menyebut Malaysia perlu ikut sekatan atau tarif perdagangan Amerika Syarikat.
Kalau Amerika kenakan sekatan terhadap China, Iran atau Rusia, Malaysia juga wajib ikut, walaupun negara-negara itu rakan dagang penting negara kita.
Walaupun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jawab di Parlimen bahawa ia tertakluk kepada pelbagai proses dan garis masa, tetapi realitinya kita hilang dasar berkecuali.
Dasar luar Malaysia yang selama ini bebas dan sederhana kini akan tunduk kepada keputusan Washington.
Maka kita terpaksa tanya: Mengapa Cambodia boleh mempertahankan kedaulatan mereka dalam perjanjian dan kita tidak boleh? Adakah kita dibuli oleh Amerika Syarikat? Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, termasuk penjawat awam ataupun sesiapa saja, tetapi persoalan ini harus dijawab.
Artikel 5.2.1 dalam perjanjian antara Amerika Syarikat dan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia hanya boleh menggunakan pembekal teknologi komunikasi yang tidak menjejaskan keselamatan, perlindungan dan harta intelek, infrastruktur ICT, termasuk 5G, 6G, satelit komunikasi dan kabel dasar laut.
Jadi, mengikut perjanjian, Malaysia kena berunding dengan Amerika Syarikat terlebih dahulu untuk menentukan sama ada sesuatu pembekal gagal memenuhi piawaan ini.
Memandangkan Amerika Syarikat telah pun mengharamkan ZTE dan Huawei dari China atas alasan keselamatan, persoalannya sekarang adakah U-Mobile akan terpaksa batalkan perjanjian mereka untuk menggunakan teknologi Huawei dan ZTE yang biasanya 20 peratus hingga 40 peratus lebih murah berbanding pembekal negara barat bagi pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia seperti diumumkan pada April 2025 yang lalu?
Ya, Malaysia perlu berunding dengan Amerika Syarikat apabila ingin membeli satelit atau teknologi komunikasi dan jika mereka tidak setuju maka kita terpaksa bayar sampai 40 peratus lebih tinggi.
Namun, Kerajaan Madani kata perkara seperti ini langsung tidak menjejaskan kedaulatan, tidak menjejaskan kebebasan kita, tapi ianya sebaliknya dikatakan menguntungkan negara kita. Biar betul, fikir-fikirkanlah.
Kedua, dari segi faedah perdagangan, kerajaan dengan bangganya meraikan kira-kira RM22 bilion barangan Malaysia bakal menerima pengecualian daripada tarif 19 peratus.
Namun, hakikatnya ia hanya mewakili kira-kira 12 peratus eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, seperti getah, koko, minyak sawit dan farmaseutikal.
Sebaliknya, kalau kita lihat apa yang mereka dapat, kira-kira 65 peratus hingga 90 peratus eksport Amerika Syarikat ke Malaysia bernilai kira-kira RM75 bilion kini diberi akses mudah dan keutamaan pasaran di Malaysia.
Lebih membimbangkan apabila pakar ekonomi Barclays dilaporkan menganggar nilai eksport Malaysia yang benar-benar mendapat manfaat hanya sekitar AS$1 bilion sahaja kerana barangan ini masih tertakluk kepada hak dan syarat-syarat eksport.
Jumlah ini kira-kira 0.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), satu jumlah yang sangat kecil, insignifikan untuk memberi apa-apa impak bermakna. Ini bukan perjanjian sama-sama untung. Ia jelas berat sebelah di mana kita buka seluruh pasaran tetapi mereka hanya buka sedikit ruang untuk kita.
Ketiga, dari segi kritikal mineral dan sumber asli. Malaysia kini tidak boleh lagi mengenakan sekatan atau kuota eksport kepada Amerika Syarikat.
Ini bermakna kita tidak lagi boleh mengawal nilai tambah di dalam negara. Syarikat-syarikat Amerika Syarikat bebas membeli bahan mentah kita tanpa perlu melabur dalam pemprosesan tempatan. Ini bermaksud negara kita akan kehilangan leverage dan hasil jangka panjang.
Keempat, perjanjian ini juga mengikat kita kepada piawaian dan pensijilan Amerika Syarikat. Adakah produk yang sudah diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) mesti diterima tanpa semakan oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) atau Medical Device Authority (MDA)?
Begitu juga, produk halal Malaysia hanya mempunyai kuasa melantik agensi pengesahan halal di Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bagaimana jika JAKIM mengubah dasar atau standardnya nanti? Kita akan hilang kawalan untuk menentukan sendiri apa yang halal di tanah air kita sendiri.
Kelima, dalam bidang digital dan data, Malaysia tidak boleh lagi kenakan cukai digital atau sekatan aliran data rentas sempadan. Ini dilihat hanya menguntungkan syarikat generasi teknologi Amerika Syarikat tetapi menyekat ruang Malaysia membina dasar digital yang melindungi pengguna dan syarikat tempatan.
Akhir sekali, Artikel 6. 2 mewajibkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Petronas, TNB, Khazanah dan PNB bertindak seperti syarikat komersial semata-mata. Jika mereka memberi keutamaan kepada syarikat tempatan, ia boleh dianggap melanggar perjanjian. Dasar pemerkasaan ekonomi tempatan akan lumpuh.
Jadi, saya ingin tanya kerajaan: Adakah semua klausa ini benar-benar telah dipersetujui oleh seluruh kerajaan Madani? Mengapa ia ditandatangani tanpa rundingan awam atau dibentang di Parlimen walaupun proses telah bermula sejak bulan Mei lagi? Apa jaminan bahawa dasar halal, cukai dan kedaulatan ekonomi kita tidak tergadai?
Kita tidak menolak perdagangan antarabangsa, tetapi kita menolak perjanjian yang menyerahkan hak menentukan masa depan negara kepada kuasa luar.
Namun dengan perjanjian ini kita telah ikat mati nasib ekonomi negara kita kepada rantaian bekalan Amerika Syarikat dan kepentingan ekonomi mereka. Kalau barangan lebih murah boleh diperoleh dari negara lain, adakah Malaysia masih terikat kepada barangan Amerika Syarikat sahaja? Kita tiada pilihan kan?
Ingat, Malaysia mesti kekal bebas, berkecuali, dan berdaulat.
*Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong ialah Presiden MCA dan mantan Menteri Pengangkutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
