Covid-19: Perbicaraan kes Ku Nan disambung 1 April

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. -Foto Sumber Internet
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. -Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perbicaraan kes pembelaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, yang dijadual berlangsung hari ini hingga Jumaat di Mahkamah Tinggi di sini, telah dibatalkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berkata, mahkamah telah membatalkan tarikh perbicaraan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac sehingga akhir bulan ini, bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

"Pihak pendakwaraya menerima satu e-mel daripada mahkamah berkenaan pada 19 Mac lalu, menyatakan tarikh baharu perbicaraan ditetapkan mulai 1 April hingga 3 April dan mulai 7 April hingga 8 April. Sebarang penangguhan tarikh perbicaraan akan difail sebelum 1 April,” katanya kepada Bernama menerusi mesej Whatsapp hari ini.

Julia yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan itu berkata, pihak pembela akan memanggil dua atau tiga lagi saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan.

"Tengku Adnan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaan pada 17 Januari, diteruskan pada 4 Mac dan yang terakhirnya pada 5 Mac,” katanya lagi.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintah Tengku Adnan, 69, untuk membela diri di atas pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie dalam kes itu.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu, menerima suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga pengarah pengurusan aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd, yang beliau mempunyai kepentingan, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.-Bernama