Mural baharu Tun Mahathir lambang penghormatan, kebanggaan rakyat Kedah

ALOR SETAR – Mural potret Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghiasi dinding bangunan di Medan Seni, Alor Setar kini menjadi simbol penghormatan dan kebanggaan rakyat Kedah terhadap tokoh negarawan kelahiran bandar raya ini.
Karya seni hasil tangan artis tempatan itu bukan sekadar lukisan, malah menjadi manifestasi semangat kepimpinan, keteguhan dan inspirasi yang dibawa oleh pemimpin itu sepanjang pentadbirannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam memperindah landskap bandar serta memperkasa identiti seni dan warisan tempatan di bawah gagasan Alor Setar Bandaraya Berdayahuni.
“Mural ini bukan sekadar hiasan dinding, ia adalah lambang penghargaan rakyat Kedah terhadap jasa besar Tun Mahathir yang telah mengharumkan nama negeri ini di persada dunia,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Mural Tun Dr Mahathir Mohamad di Medan Seni pada petang Khamis.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhammad Amri Wahab; Koordinator Projek Mural, Anas Hafiz Mustaffa dan wakil Kedah Tourism.
Menurut Abdul Gafar, mural tersebut kini menjadi tarikan pelancongan baharu di bandar raya ini, bukan sahaja kepada pelancong tempatan malah pelancong luar negara.
“Dengan wujudnya mural ini, ia menjadi sebahagian daripada laluan Jejak Warisan Alor Setar yang mempamerkan keindahan seni, budaya dan sejarah bandar raya ini. Saya percaya inisiatif sebegini akan terus memperkukuh semangat komuniti seni serta membuka ruang kepada lebih ramai penggiat kreatif untuk berkarya,” ujarnya.
Tambah beliau, karya seni ini bukan sahaja memperindah wajah bandar, malah menjadi lambang perpaduan antara seni, sejarah dan penghargaan terhadap tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Saya juga berharap Tun Mahathir dapat singgah ke sini sekiranya beliau pulang ke negeri ini. Kita dapat berhimpun beramai-ramai memeriahkan suasana sebagai tanda menghargai jasa beliau dalam membangunkan negara dari pelbagai aspek,” katanya lagi.
Mural tersebut dihasilkan oleh pasukan mural melibatkan empat pelukis dan dua pembantu iaitu Amir Azizuddin Qadiri, Mohd Rajis Jamaluddin, Mohammad Farhan Abdul Razak, Azmel Azizan, dan Ahmad Miqhdad Ahmad Shukri dan Mohamed Faisal Saat.
Ringkasan AI
- Mural potret Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi simbol penghormatan di Alor Setar
- Diciptakan oleh artis tempatan, mural tersebut menggambarkan semangat kepimpinan dan inspirasi Tun Mahathir
- Inisiatif oleh Majlis Bandaraya Alor Setar untuk memperindah landskap dan memperkasa identiti seni tempatan
- Menjadi tarikan pelancongan baru dan sebahagian dari laluan Jejak Warisan Alor Setar
- Dihasilkan oleh pasukan mural yang terdiri daripada enam orang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

