Pemuda lemas dalam kolam kebun

MELAKA – Seorang pekerja kebun gaharu meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam kolam sedalam kira-kira 0.3 meter di kawasan kebun di Lorong Gaung Piring, Cheng di sini pada Khamis.
Mangsa, Gan Ping Hong, 18 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata insiden itu hanya disedari selepas rakan mangsa gagal menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp sekitar jam 11.30 pagi.
“Rakan mangsa telah menghantar mesej tetapi tidak menerima sebarang maklum balas. Bimbang dengan keadaan itu, dia bersama seorang lagi rakan pergi ke lokasi bagi mencari mangsa yang sebelum itu melakukan tugas menyiram anak pokok gaharu.
“Setibanya di kawasan kebun, mereka menemui mangsa berada dalam kolam sebelum menariknya ke tebing dan menghubungi pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Christopher berkata, hasil siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Hasil laporan mendapati punca kematian adalah akibat lemas,” katanya.
Ujarnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ringkasan AI
- Seorang pekerja kebun gaharu meninggal selepas terjatuh dalam kolam di Melaka
- Mangsa berusia 18 tahun ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal di tempat kejadian
- Rakan mangsa mencari apabila gagal hubungi melalui WhatsApp setelah tidak balas mesej
- Penemuan mangsa dalam kolam oleh rakan yang kemudian menghubungi ambulans
- Siasatan polis tiada unsur jenayah dan punca kematian adalah lemas, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

