Ismail Lasim beri bayangan menghadap Tuanku Muhriz kali kedua esok

SEREMBAN - Masih menjadi teka-teki sama ada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pada Jumaat seperti dijadualkan atau sebaliknya.
Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Zakat Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis, hanya memberikan bayangan samar mengenai perkara itu.
"Jumpa esok. Empat hari tak dapat cari saya. Esok cari saya.
"Tak perlu cakaplah. Kamu pandailah cari orang," katanya ringkas berkenaan lokasi perjumpaan yang dimaksudkan.
Ditanya mengenai keadaannya, beliau yang sememangnya mesra dengan media memberitahu berada dalam keadaan sihat.
"Saya okay. Sihat alhamdulillah. Terima kasih," katanya.

Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan media dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja memaklumkan, Tuanku Muhriz perkenan menerima menghadap Ismail seperti mana yang dimohonnya.
Sesi menghadap tersebut ditetapkan jam 10 pagi pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir yang memaklumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut selain menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada Selasa lalu, Ismail dilaporkan menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap dan beliau tiba di istana berkenaan kira-kira jam 5 petang dan pertemuan berlangsung lebih sejam.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan hasil pertemuan tersebut dan setakat ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

