Warga emas hilang tiga hari ditemui mati dalam parit kebun

BAGAN DATUK - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui tidak bernyawa di dalam parit berhampiran kebun pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang di sini pada Sabtu.
Mangsa, Halimah Idris, 77, ditemukan sekitar jam 10.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Unit Anjing Pengesan (K9).
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, operasi pencarian bermula sejak Khamis selepas bomba menerima laporan mengenai kehilangan mangsa yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 28 Oktober lalu.
"Mangsa dikatakan keluar dari rumahnya dan tidak pulang. Difahamkan, mangsa juga mengalami masalah ingatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Shazlean, operasi pencarian dimulakan dengan radius empat kilometer pada hari pertama melibatkan empat kumpulan daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.
Katanya, usaha pencarian diteruskan pada hari berikutnya dengan memperluas kawasan carian sehingga lima kilometer menggunakan kaedah sweep search.
"Pada pagi Sabtu, pasukan SAR dibahagikan kepada dua sektor dan sekitar jam 10.50 pagi, mangsa ditemui dalam parit di kawasan kebun pisang dalam Sektor B.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR melibatkan lapan anggota JBPM, 16 anggota polis, 10 anggota APM, sembilan anggota Rela, dua anggota K9 PDRM, tiga anggota K9 JBPM, serta tiga orang penduduk kampung.
Operasi yang diketuai Mohd Rozali Uyop dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan Komander Operasi Kanan, Mohd Azroisan Wahab itu tamat jam 3.37 petang.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga emas bernama Halimah Idris, 77, hilang tiga hari lalu ditemui meninggal di dalam parit berhampiran kebun pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang
- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Unit Anjing Pengesan (K9)
- Operasi pencarian bermula sejak Khamis dengan radius empat kilometer dan diperluas ke lima kilometer pada hari kedua menggunakan kaedah sweep search
- Halimah Idris, yang mengalami masalah ingatan, dikatakan keluar dari rumah dan tidak kembali
- Operasi SAR yang dipimpin oleh Mohd Rozali Uyop dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang bersama-sama anggota dari pelbagai agensi berakhir pada jam 3.37 petang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

