Tuanku Muhriz tarik darjah kebesaran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pengurniaan Darjah Dato Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Profesor Emeritus Dr Mohamad Abd Razak ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, keputusan tersebut bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan institusi diraja di Negeri Sembilan.
Mohamad dianugerahkan gelaran DSNS berkenaan pada tahun 2004.
Menerusi laman web UKM, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM sejak 1 November 2021 dan merupakan alumni pertama universiti itu dari Fakulti Perubatan yang menjawat jawatan berkenaan.
Selain memegang jawatan Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia dari tahun 1996 hingga 1998, beliau pernah berkhidmat sebagai Pendaftar Pelawat di Jabatan Ortopedik, University of Edinburgh dan Pendaftar serta Felo Klinikal dalam Kecerdasan Tulang Belakang di Southport Spinal Injuries Centre di Liverpool.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM dari tahun 2008 hingga 2010 dan sebagai Pengarah Hospital UKM (HUKM) yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dari tahun 2003 hingga 2007.
Tuanku Muhriz pada Februari lalu juga dilapor menitahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang dikurniakan kepada bekas Naib Canselor UKM, Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman pada 14 Januari 2019 ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan dan beliau juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menarik balik Darjah Dato Setia Negeri Sembilan yang dianugerahkan kepada Profesor Emeritus Dr Mohamad Abd Razak
- Keputusan ini untuk menjaga kebesaran dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan
- Mohamad dianugerahkan gelaran DSNS pada tahun 2004
- Beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM sejak 1 November 2021 dan alumni pertama Fakulti Perubatan universiti tersebut
- Sebelum ini, Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan juga ditarik balik dari bekas Naib Canselor UKM, Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

