2.4 hektar hutan terbakar di Jalan Pulau Angsa

SHAH ALAM – Suasana di sekitar Jalan Pulau Angsa U10/2, Taman Perdana Heights di sini pada Rabu dikejutkan dengan kepulan asap tebal yang dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, api dilaporkan merebak dengan cepat di kawasan hutan seluas 2.4 hektar sebelum berjaya dikawal oleh pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah tangki air dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada jam 4.27 petang, didapati kebakaran melibatkan kawasan hutan seluas 2.4 hektar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan ketika ini.
“Pasukan bomba turut menggunakan sumber air daripada tangki dan paip berdekatan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan belukar tebal berhampiran.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Suasana sekitar Jalan Pulau Angsa U10/2, Taman Perdana Heights di Shah Alam diganggu kepulan asap tebal akibat kebakaran hutan
- Kebakaran yang berlaku pada jam 4.15 petang itu melibatkan kawasan hutan seluas 2.4 hektar
- Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam yang sama dan segera bergegas ke lokasi
- Tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera FRT dan sebuah tangki air dikerahkan untuk memadamkan api
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

