Battersea Power Station di London kekal pelaburan strategik - PNB, KWSP

SHAH ALAM - [DI KEMASKINI] Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan tiada perancangan untuk keluar daripada pelaburan hartanah mereka di Battersea Power Station, United Kingdom (UK).
Menurut kenyataan bersama itu, projek Battersea yang dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sime Darby Property Berhad dan SP Setia Berhad kekal sebagai pelaburan strategik bagi semua pemegang sahamnya.
Jelas kenyataan itu, bangunan Battersea Power Station yang terletak dalam presint komersial projek Battersea dimiliki bersama oleh PNB dan KWSP, dan telah diambil alih sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan hartanah global mereka.
“Kedua-dua organisasi kekal komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh, serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya.
“Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut,” katanya di sini pada Rabu.
Tambah kenyataan itu lagi, dari semasa ke semasa, mereka menerima cadangan daripada pihak yang berminat untuk melabur memandangkan aset Battersea Power Station merupakan hartanah ikonik di peringkat antarabangsa.
“Sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti, selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan kami yang sentiasa berasaskan penciptaan nilai untuk manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP.
“Oleh itu, biasanya apabila pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan yang disasarkan, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pengenalan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa bangunan utama Battersea Power Station yang antara lain menempatkan ibu pejabat Apple Inc serta pusat beli-belah dimasukkan ke dalam senarai untuk dijual.
Pemilik kompleks berkenaan dilaporkan telah melantik BNP Paribas untuk memberikan nasihat berhubung potensi penjualan, selepas menerima pernyataan minat daripada pelabur yang ingin memperolehnya.
Untuk rekod, Battersea Power Station dan kawasan sekitarnya dibeli oleh konsortium yang merangkumi KWSP, SP Setia Berhad dan Sime Darby Berhad pada tahun 2012 dengan harga sekitar £400 juta (RM2.248 bilion), ketika mereka memulakan salah satu projek pembangunan semula terbesar di London.
Ringkasan AI
- PNB dan KWSP tiada perancangan untuk keluar daripada pelaburan hartanah di Battersea Power Station UK
- Projek Battersea merupakan pelaburan strategik bagi pemegang sahamnya termasuk Sime Darby Property Berhad dan SP Setia Berhad
- PNB dan KWSP komited untuk merealisasikan potensi pelaburan hartanah Battersea
- Kedua-dua organisasi itu terbuka kepada cadangan pelaburan dan akan menilai setiap cadangan dengan teliti
- Bangunan utama Battersea Power Station telah dibeli oleh konsortium termasuk KWSP, SP Setia Berhad dan Sime Darby Berhad pada tahun 2012
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
