Gagal buat pusingan U, warga emas terperosok bawah treler

SEGAMAT - Akibat gagal melakukan pusingan U, seorang warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 136.5 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, kejadian yang dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa yang juga warga tempatan dengan treler dipandu lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50-an.
"Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit yang datang dari Chaah ke arah Yong Peng telah membuat pusingan U dan dilanggar treler dari arah yang sama.
"Akibatnya, penunggang motosikal yang berusia lingkungan 60-an meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Zamry, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811 untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Yusri Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.30 pagi.
Ujar beliau, sebaik menerima panggilan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama enam anggota bomba dihantar ke lokasi sejauh 18 kilometer sebelum tiba di lokasi kira-kira jam 10.45 pagi.
"Setibanya di lokasi didapati penunggang motosikal tersepit di bawah treler dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
"Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 11.39 pagi," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang warga emas maut dalam nahas motosikal dengan treler di Segamat
- Kejadian berlaku ketika mangsa cuba melakukan pusingan U
- Mangsa merupakan penunggang motosikal jenis Honda EX5
- Pemandu treler berusia dalam lingkungan 50-an tidak mengalami kecederaan
- Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
