Lima pelajar ditahan lepas aksi halang ambulans tular

Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan lima remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dan menghalang laluan ambulans.
Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan lima remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dan menghalang laluan ambulans.
A
A
A

IPOH – Lima remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan sebuah ambulans di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Kuala Kangsar, dua minggu lalu.

Kesemua remaja yang masih bersekolah itu berjaya dikesan di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin lalu oleh pasukan penguat kuasa dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya turut merampas lima buah motosikal yang digunakan remaja terbabit dalam kejadian itu.

“Kesemua remaja ini telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada hari ini (Selasa) untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan mereka direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semakan mendapati kejadian berlaku di Kilometer 249 sekitar jam 3.15 petang pada 19 Oktober, ketika sebuah ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam perjalanan untuk memberikan bantuan kecemasan di Kilometer 260.

Bagaimanapun, katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, laluan ambulans di lorong kanan telah dihalang oleh sekumpulan penunggang motosikal yang sedang melakukan aksi berbahaya.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Tindakan tegas diambil agar dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kejadian tersebut menjadi tular selepas satu video berdurasi 37 saat dimuat naik di media sosial, memaparkan lima remaja menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans, walaupun siren kecemasan telah dibunyikan.

Ringkasan AI

  • Lima remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang ambulans di Lebuhraya Utara Selatan
  • Remaja tersebut dikesan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan motosikal yang digunakan dirampas
  • Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar untuk permohonan reman selama dua hari
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Kejadian berlaku ketika ambulans dalam perjalanan memberi bantuan kemalangan dan tindakan tegas diambil oleh polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!