Dua remaja lelaki 13 tahun ditahan tendang motosikal polis

TEMERLOH - Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas bertindak berani menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, anggota dari Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika menjalankan rondaan beruniform, mangsa telah melihat sekumpulan individu sedang berkumpul dipercayai untuk berlumba di tepi jalan berhampiran sebuah bank di kawasan tersebut.
Menurutnya, mangsa yang berusia 23 tahun bersama rakan setugas telah bertindak menghampiri kumpulan tersebut tetapi kesemua mereka melarikan diri.
"Pengadu kemudian telah bertindak mengekori sebuah motosikal warna hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki suspek dengan membunyikan siren dan lampu amaran.
"Suspek kemudiannya diarahkan untuk berhenti namun enggan berbuat demikian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Nasyim berkata, salah seorang suspek telah bertindak menendang tayar motosikal mangsa sehingga menyebabkan dirinya terjatuh dan suspek pula berjaya melarikan diri.
"Mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki kanan kemudian dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan," jelasnya.
Kata beliau, pihaknya segera melancarkan siasatan dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada jam 2.30 petang pada hari sama.
"Kedua-duanya ditangkap hasil kerjasama ahli keluarga dan polis turut merampas sebuah motosikal jenis Demak EX 90 warna hitam bagi membantu siasatan,” jelas beliau.
Mohd Nasyim memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tambahnya, tindakan tersebut juga boleh diambil di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu sah menunggang motosikal.
"Ibu bapa atau penjaga juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya kerana membenarkan anak remaja bawah umur memandu kenderaan motor tanpa lesen sah," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang dan memberikan kerjasama kepada pihak polis apabila ditahan untuk pemeriksaan.
"Kita turut merayu kepada golongan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak remaja yang keluar lewat pagi agar tidak membawa kenderaan yang tidak cukup sifat serta tidak membawa kenderaan tanpa lesen memandu yang sah.
"Kealpaan ibu bapa atau penjaga, boleh menyebabkan kehilangan nyawa," katanya.
Ringkasan AI
- Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana menendang motosikal polis menyebabkan anggota polis terjatuh di Temerloh
- Kejadian berlaku pada awal pagi Ahad, melibatkan anggota polis dari Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan
- Anggota polis berusia 23 tahun mengalami kecederaan di tangan dan kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Temerloh
- Berjaya menahan kedua-dua suspek pada hari yang sama dan merampas sebuah motosikal jenis Demak EX 90
- Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

