Pembunuh bekas PM Jepun Shinzo Abe akhirnya mengaku bersalah

TOKYO – Lelaki yang menembak mati bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, akhirnya mengaku bersalah pada Selasa, tiga tahun selepas pembunuhan yang mengejutkan dunia itu berlaku secara terbuka pada siang hari.
Kes berprofil tinggi tersebut menggoncang Jepun, sebuah negara yang hampir tidak pernah berdepan keganasan bersenjata serta mencetuskan semakan semula terhadap hubungan antara ahli politik konservatif terkemuka dan kumpulan agama kontroversi, Gereja Unifikasi.
“Semuanya benar,” kata Tetsuya Yamagami, 45, di Mahkamah Wilayah Nara, ketika mengaku membunuh Abe pada Julai 2022, tokoh yang memegang jawatan Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Jepun.
Yamagami yang diiringi empat pegawai keselamatan, kelihatan tenang memakai baju-T hitam dengan rambut panjang diikat ke belakang. Dia menjawab soalan hakim dengan suara perlahan ketika diminta menyatakan namanya.
Bagaimanapun, peguam bela Yamagami memaklumkan mereka akan mencabar beberapa pertuduhan tambahan, termasuk pelanggaran undang-undang kawalan senjata api kerana senjata yang digunakan adalah buatan sendiri.
Perbicaraan itu tertunda lama susulan insiden pada tahun 2023, apabila satu objek mencurigakan ditemui di kompleks Mahkamah Nara, namun kemudian disahkan tidak berbahaya.
Isu utama yang menjadi tumpuan dalam kes ini ialah sama ada wujud faktor peringanan hukuman ekoran penderaan psikologi semasa kecil, yang didakwa berpunca daripada ketaasuban ibunya terhadap Gereja Unifikasi, menurut laporan media tempatan.
Difahamkan, Yamagami menyimpan dendam terhadap Abe kerana menyangka beliau mempunyai kaitan dengan gereja berkenaan yang diasaskan di Korea Selatan pada 1954 oleh Sun Myung Moon.
Gereja itu, yang ahlinya dikenali sebagai Moonies, didakwa mengeksploitasi pengikut secara kewangan dan menyebabkan pengabaian anak-anak dalam kalangan penganutnya, dakwaan yang bagaimanapun dinafikan pihak gereja.
Yamagami dipercayai berdendam selepas keluarganya muflis apabila ibunya mendermakan kira-kira 100 juta yen (kira-kira AS$1 juta) kepada gereja itu sebagai tanda keimanan.
Selepas pembunuhan Abe, siasatan menyeluruh mendedahkan hubungan rapat antara Gereja Unifikasi dan ramai ahli politik dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah sehingga menyebabkan empat menteri meletakkan jawatan.
Awal tahun ini, Mahkamah Daerah Tokyo telah mengarahkan pembubaran cabang Gereja Unifikasi di Jepun, selepas mendapati ia menyebabkan “kerosakan luar biasa” terhadap masyarakat.
Tragedi itu turut menjadi amaran besar kepada Jepun, yang terkenal dengan undang-undang senjata api paling ketat di dunia.
Menurut laporan polis, keganasan bersenjata begitu jarang berlaku di Jepun sehingga pegawai keselamatan yang berada di lokasi kejadian tidak menyedari bunyi tembakan pertama dan gagal bertindak pantas menyelamatkan Abe.
Susulan insiden tersebut, Parlimen Jepun meluluskan undang-undang baharu pada tahun 2024 untuk memperketat kawalan senjata api, termasuk larangan menyebar video tutorial membuat senjata buatan sendiri serta promosi penjualan senjata di media sosial.
Di bawah undang-undang baharu itu, individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga satu tahun. – AFP
Ringkasan AI
- Lelaki yang menembak mati bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, mengaku bersalah di mahkamah
- Pembunuhan Shinzo Abe mencetuskan semakan semula terhadap hubungan antara politik dengan Gereja Unifikasi
- Tetsuya Yamagami berdendam terhadap Abe kerana kaitannya dengan Gereja Unifikasi yang dipercayai mengeksploitasi pengikutnya
- Siasatan mendalam pasca pembunuhan mendedahkan hubungan rapat antara Gereja Unifikasi dengan ramai ahli politik Jepun
- Parlimen Jepun menguatkuasakan undang-undang baharu untuk memperketat kawalan senjata api selepas insiden pembunuhan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

