Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 fokus perkukuh perdagangan, keselamatan ekonomi serantau

Tengku Zafrul sewaktu wawancara bersama media bertemakan ‘Bagaimana Kemakmuran Ekonomi ASEAN Menyokong Kestabilan Politik Serantau’, di pejabatnya di sini pada Rabu.
Tengku Zafrul sewaktu wawancara bersama media bertemakan ‘Bagaimana Kemakmuran Ekonomi ASEAN Menyokong Kestabilan Politik Serantau’, di pejabatnya di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan keselamatan ekonomi serantau di tengah-tengah cabaran geopolitik dan geoekonomi global yang semakin mencabar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah tonggak ekonomi ASEAN akan menjadi fokus utama perbincangan kali ini selaras dengan komitmen blok tersebut untuk melindungi perdagangan, pelaburan dan kestabilan ekonomi rantau ini.

Menurutnya, perbincangan itu merangkumi aspek perdagangan, pelaburan, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan hijau dan keterangkuman ekonomi agar manfaat pembangunan dapat dikongsi secara lebih seimbang di seluruh rantau ini.

“Sidang kemuncak kali ini juga akan memberi tumpuan kepada usaha memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan utama, memperdalam integrasi serantau serta memperkukuh daya tahan ekonomi blok Asia Tenggara dalam menghadapi perubahan landskap global.

“Kita akan menyaksikan beberapa pencapaian penting termasuk memuktamadkan Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Amerika Syarikat dan beberapa negara ASEAN terpilih.

“Selain itu, penambahbaikan ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) serta pemeteraian versi dipertingkat ASEAN-China Free Trade Agreement (ACFTA),” katanya dalam wawancara bersama media bertemakan ‘Bagaimana Kemakmuran Ekonomi ASEAN Menyokong Kestabilan Politik Serantau’ di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual bermula minggu ini dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi pada Sabtu, disusuli sesi pemimpin dan sidang kemuncak berkaitan bersama rakan dialog utama.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ASEAN juga akan menganjurkan mesyuarat pertama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sejak pelancaran pakatan tersebut, melibatkan penyertaan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Mesyuarat itu, katanya, akan menilai kemajuan rantau ini dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta memperluas kerjasama ekonomi antara negara anggota.

Artikel Berkaitan:

“Buat pertama kali juga, tiga tonggak ASEAN iaitu ekonomi, keselamatan dan diplomatik akan bersidang bersama bagi membincangkan aspek keselamatan ekonomi.

“Langkah ini menggambarkan bagaimana perdagangan dan pelaburan kini semakin berkait rapat dengan kestabilan serantau. Sesi ini akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi dan Menteri Luar Malaysia,” ujarnya.

Tambah Tengku Zafrul, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir AS$3.8 trilion serta populasi 680 juta penduduk, ASEAN mempunyai potensi besar untuk terus menjadi kuasa ekonomi yang berpengaruh di peringkat global.

“ASEAN tidak boleh kekal di pinggiran. Kita mesti bertindak secara kolektif untuk memastikan rantau ini kekal terbuka, berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan dunia,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan fokus memperkukuh kerjasama perdagangan dan keselamatan ekonomi
  • Perbincangan akan meliputi aspek perdagangan, pelaburan, pendigitalan, kecerdasan buatan, pertumbuhan hijau dan keterangkuman ekonomi
  • Sidang ini akan memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan penting termasuk ART antara Amerika Syarikat dan negara ASEAN terpilih
  • Mesyuarat pertama RCEP akan diadakan, melibatkan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand
  • ASEAN mempunyai potensi besar dengan KDNK hampir AS$3.8 trilion dan populasi 680 juta untuk menjadi kuasa ekonomi berpengaruh global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!