'Kami dah buat yang terbaik untuk Aya' - Ibu reda pemergian anak derita kanser

Nurul Nadiah menunjukkan Aya ketika dirawat di China
Nurul Nadiah menunjukkan Aya ketika dirawat di China
A
A
A

SEREMBAN – “Walaupun Aya sudah tiada, tapi kami puas kerana telah berusaha yang terbaik untuknya.”

Demikian luah Nurul Nadiah Zakaria, 33, ibu kepada Allahyarham Aya Sofya Moehamad Izzat Emir, 4, yang meninggal dunia di sebuah hospital di China minggu lalu ketika sedang menerima rawatan penyakit kanser saraf (neuroblastoma).

Jenazah Allahyarham yang diterbangkan dari Guangzhou, China pada Sabtu lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale pada jam 2 pagi Ahad.

Jenazah Aya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale, Ahad lalu
Jenazah Aya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale, Ahad lalu

Menurut Nurul Nadiah, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya ia adalah yang terbaik buat anak bongsunya itu selepas dua tahun menderita penyakit berkenaan.

"Ini yang terbaik untuk Aya, kerana kalau dia masih hidup, dia akan terus menderita. Kami suami isteri reda dan saya percaya Aya kini sudah berada di tempat yang baik, bersama kawan-kawan yang senasib dengannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Rimbun Aman, di sini pada Isnin.

Menceritakan perjalanan mereka ke China, guru itu berkata, dia dan suami ke sana pada 14 September lalu bagi mendapatkan rawatan CAR-T Cell yang merupakan satu-satunya peluang terakhir untuk merawat anak mereka.

Jelasnya, mereka amat bersyukur apabila kos rawatan berjumlah RM450,000 ditanggung sepenuhnya oleh Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM).

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah mengambil cuti selama enam bulan kerana itu jangkaan tempoh rawatan. Selepas beberapa hari menjalani rawatan kemoterapi, Aya tiba-tiba mengadu sakit kepala yang teruk sehingga mengalami sawan, sebelum doktor mengesahkan terdapat cecair di dalam otaknya," katanya.

Disebabkan itu, ujarnya, kepala anaknya terpaksa ditebuk bagi mengeluarkan cecair tersebut, namun selepas tiga hari, berlaku pendarahan dalam otaknya yang menyebabkan tumor dalam kepala semakin membesar.

Tambahnya, ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan bahawa peluang untuk anaknya sembuh amat tipis.

"Ketika itu, kami sudah reda dan membuat keputusan untuk mengeluarkannya dari ICU supaya dimasukkan ke wad biasa. Selepas beberapa hari, Aya pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya," ujarnya.

Nurul Nadiah berkata, pada awalnya mereka bercadang mengebumikan jenazah di China sahaja bagi memudahkan urusan.

Namun, disebabkan polisi negara itu yang tidak membenarkan rakyat asing dikebumikan di sana, mereka mengambil keputusan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

"Sepatutnya kos membawa balik jenazah yang perlu kami tanggung adalah RM46,000 itu pun selepas diberi diskaun. Tapi Alhamdulillah, ada seorang hamba Allah membantu menanggung hampir keseluruhan kos dan kami hanya perlu membayar RM9,000," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan harapan agar lebih banyak kajian dapat dijalankan di negara ini mengenai penyakit kanser saraf, supaya pesakit tidak perlu ke luar negara bagi mendapatkan rawatan.

Ringkasan AI

  • Aya Sofya Moehamad Izzat Emir, berumur 4 tahun, meninggal dunia akibat penyakit kanser saraf di China
  • Jenazahnya diterbangkan dari Guangzhou dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale
  • Keluarga menerima bantuan Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia untuk menanggung kos rawatan RM450,000
  • Kepala Aya terpaksa ditebuk untuk mengeluarkan cecair sebelum mengalami pendarahan dalam otak
  • Nurul Nadiah berharap lebih banyak kajian di Malaysia tentang penyakit kanser saraf untuk mengelakkan rawatan di luar negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!