'Arwah sangat gembira saya mengandung lagi’ - Isteri Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Johor reda pemergian suami

JOHOR BAHRU - Kegembiraan menanti kelahiran anak keempat bertukar pilu buat isteri Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, Allahyarham Muhammad Ariff Haron apabila suaminya maut dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara–Selatan arah utara di sini pada Sabtu.
Isteri arwah, Shuhada Alam Shah, 34, yang kini hamil dua bulan berkata, suaminya begitu teruja apabila mengetahui dirinya mengandung dan sering menyebut mengenai kehadiran cahaya mata baharu itu.
“Arwah sangat gembira apabila tahu saya mengandung lagi. Setiap kali keluar bekerja atau ke program, arwah akan pesan supaya saya menjaga diri dan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, arwah merupakan Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Johor serta mutawwif umrah ialah seorang suami dan bapa penyayang yang sentiasa mendahulukan keluarga.
“Beberapa hari sebelum ini, arwah ada minta didoakan agar diberikan kesihatan kerana berasa letih. Namun, arwah tetap kuatkan diri untuk melakukan segala kebaikan selagi hayatnya ada.
“Setakat ini, sahabat arwah yang perasan tanda-tanda sebelum pemergiannya. Mereka memaklumkan arwah ada memohon sahabat-sahabatnya untuk mendoakannya dan memeluk mereka erat sebelum pulang ke rumah,” katanya.
Allahyarham Muhammad Ariff, 33, meninggalkan isteri dan tiga anak iaitu Siti Maryam, 5; Muhammad Zaid, 4; dan Muhammad Suhail, 2 tahun.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.54 pagi Sabtu.
Katanya, arwah menunggang motosikal dan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.
Ringkasan AI
- Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, Muhammad Ariff Haron meninggal dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan
- Isteri Allahyarham, Shuhada Alam Shah yang hamil dua bulan, berkongsi suaminya sangat teruja menantikan kelahiran anak keempat
- Muhammad Ariff dikenali sebagai suami dan bapa yang penyayang serta sentiasa mendahulukan keluarga
- Sebelum meninggal, Ariff meminta doa kesihatan dari sahabat kerana merasa letih tetapi tetap berusaha melakukan kebaikan
- Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga anak, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

