Dewan Rakyat kecoh gara-gara isu arak

Tangkap layar siaran langsung sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Tangkap layar siaran langsung sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada Selasa kecoh seketika susulan pertelingkahan beberapa ahli Parlimen berhubung isu arak.

Kekecohan bermula apabila Mohd Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional–Parit Buntar) mencelah perbahasan Afnan Hamimi Taib Azamudden (Perikatan Nasional–Alor Setar) ketika membahaskan Belanjawan 2026 di peringkat dasar.

Mohd Misbahul Munir menyatakan bahawa pandangan beberapa agama termasuk Buddha, Sikh, Hindu dan Kristian tidak menggalakkan pengambilan arak yang menurutnya menjadi antara punca kepada masalah kesihatan.

Chong Zhemin (Pakatan Harapan–Kampar) kemudian bangun menggunakan peraturan mesyuarat 36(11) untuk mempersoalkan kenyataan tersebut yang disifatkannya mengelirukan Dewan.

“Tadi Parit Buntar menyatakan bahawa semua agama mengharamkan minum arak, itu tidak betul,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Misbahul Munir menyangkal dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa beliau tidak menggunakan perkataan ‘haram’ dalam kenyataannya.

“Saya tidak sebut haram. Saya sebut tidak menggalakkan,” katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Syahredzan Johan kemudian meminta Mohd Misbahul Munir agar tidak memberikan pandangan berdasarkan perspektif agama lain.

Namun, suasana semakin tegang apabila Chong Zhemin menyindir dengan berkata, “Itu bukan pandangan, itu fakta yang salah. Ataupun Parit Buntar sudah mabuk?”

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Mohd Misbahul Munir yang menyifatkan Zhemin sebagai “gila”.

“Awak yang gila,” katanya.

Susulan insiden itu, Syahredzan meminta kedua-dua ahli Parlimen terbabit menarik semula kenyataan masing-masing.

Namun, Mohd Misbahul Munir enggan menarik semula kenyataannya berhubung isu arak dan akhirnya diarahkan keluar Dewan buat sementara waktu.

Ringkasan AI

  • Sidang Dewan Rakyat kecoh berhubung isu arak
  • Mohd Misbahul Munir menyatakan pengambilan arak tidak digalakkan oleh beberapa agama
  • Chong Zhemin mempersoalkan kenyataan Mohd Misbahul dengan mengatakan ia mengelirukan
  • Timbalan Yang di-Pertua Dewan meminta Mohd Misbahul tidak memberi pandangan berdasarkan agama lain
  • Mohd Misbahul Munir diarah keluar Dewan buat sementara waktu setelah enggan menarik balik kenyataannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!