Isu kehilangan dana penyelidikan RM225 juta tidak timbul - KPT

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan isu kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta tidak timbul, sebaliknya jumlah itu ialah baki dana terkumpul daripada pelaksanaan ribuan projek penyelidikan sejak 2006.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki dana itu hanya mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang hampir dua dekad dan disimpan dalam akaun berasingan di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menurut kementerian itu, baki dana itu terhasil daripada penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran lain tanpa menjejaskan pencapaian objektif asal penyelidikan.
"Baki dana itu tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan kerajaan serta kelulusan KPT,” menurut kenyataan itu.
KPT memaklumkan Jemaah Menteri pada 18 September telah meluluskan mekanisme, tatacara pengurusan dan agihan baki dana penyelidikan itu, dengan cadangan penggunaan semula dana tersebut melibatkan 20 universiti awam (UA) dan 41 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Kementerian itu memaklumkan penggunaan semula dana tersebut akan dilaksanakan secara telus, berstruktur dan dengan pemantauan berkala tanpa mengubah tujuan asal peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
KPT turut memaklumkan isu itu sebelum ini dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), dengan kementerian telah memperoleh kelulusan secara sekali sahaja daripada Kementerian Kewangan pada 11 Februari lepas, tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.
Berhubung kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara Januari 2022 hingga Disember 2023, KPT memaklumkan tindakan tatatertib telah diambil terhadap individu mengetuai penyelidikan tersebut.
KPT memaklumkan tindakan itu susulan pelanggaran tatakelola dan tatacara perolehan selain laporan polis dibuat pada 15 Oktober 2025.
Selain itu, KPT memaklumkan UTM juga melaksanakan langkah pembetulan meliputi pengasingan tugas pengesah dan pelulus serta mendapatkan kelulusan perbelanjaan daripada Lembaga Pengarah Universiti.
KPT memaklumkan juga mengambil maklum dan memandang serius laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta komited menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.
"KPT akan terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan kepada fakta yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Pada 24 November, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan lebih RM225 juta baki dana penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbiar selama hampir dua dekad.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
