Dewan Rakyat kecoh, isu pemecatan Wan Saiful jadi bahan sindiran

KUALA LUMPUR – Berlaku sedikit kekecohan di Dewan Rakyat apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan status Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) yang masih kekal di tempat duduk pembangkang walaupun telah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Wan Saiful, ketika di penghujung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026), bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau masih dalam tempoh rayuan selepas Bersatu membuat keputusan memecatnya.
Bagaimanapun, jawapan berkenaan disambut dengan sindiran oleh Poay Tiong yang mempersoalkan sama ada Wan Saiful masih mahu kekal dalam Bersatu.
"Yang Dipertua, kita maklum bahawa Tasik Gelugor telah dipecat oleh parti beliau. Kenapa beliau masih duduk di blok atau tempat yang sama? Beliau sekarang ahli Parlimen Bebas atau masih dalam pembangkang atau bagaimana?" soal Poay Tiong.
"Dalam parti kita, ada peraturan yang membolehkan rayuan dijalankan. Sehingga tamat tempoh rayuan itu..." jawab Wan Saiful.
"Masih lagi mahu kekal dalam Bersatu?" soal Poay Tiong lagi.
"Kalau mahu kursus mengenai Perlembagaan Bersatu, saya boleh bagi. Saya pun tahu juga..." celah Wan Saiful.
Namun, Poay Tiong terus menjawab dengan sindiran:
“Di luar tentang Pagoh, dalam Dewan Rakyat masih lagi mahu dengan Bersatu?” soalnya.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.
Sesi pendengaran telah diadakan pada 8 Oktober 2025 dan tindakan disiplin diambil berdasarkan siasatan menyeluruh serta selaras dengan Fasal 9.1.4 dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat, iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Ringkasan AI
- Berlaku kekecohan di Dewan Rakyat berkaitan status Datuk Wan Saiful Wan Jan yang masih kekal di tempat duduk pembangkang walaupun telah dipecat oleh Bersatu
- Wan Saiful menjelaskan beliau masih dalam tempoh rayuan selepas dipecat
- Poay Tiong mempersoalkan kedudukan Wan Saiful sama ada sebagai ahli Parlimen Bebas atau masih dalam pembangkang
- Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat Wan Saiful sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu
- Sesi pendengaran disiplin terhadap Wan Saiful dan empat ahli lain diadakan pada 8 Oktober 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
