Gangguan elektrik Sabah: Armizan minta peruntukan Fasa 1B Sabah Southern Link dipertimbang

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempertimbangkan peruntukan bagi Fasa 1B Sabah Southern Madani Link sebagai solusi jangka panjang gangguan bekalan elektrik berskala besar di Pantai Timur Sabah.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kejadian gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lapan daerah di kawasan itu baru-baru ini perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, insiden sama pernah berlaku pada September 2025, sekali gus menunjukkan keperluan memperkukuh sistem penyaluran bekalan elektrik bagi mengurangkan risiko gangguan berskala besar berulang.
"Sungguhpun insiden terkini gangguan bekalan elektrik ke lapan daerah di Pantai Timur Sabah adalah berpunca daripada faktor bencana alam, namun ia perlu diberikan perhatian serius dengan tindakan memutuskan jalan penyelesaian jangka panjang.
"Ini kerana insiden gangguan bekalan berskala besar ini berulang hanya dalam tempoh 15 bulan, dengan insiden lalu telah berlaku pada bulan September 2025 dan telah mengganggu urusan harian penduduk dan aktiviti ekonomi.
"Kita akui bencana alam adalah fenomena di luar kawalan, tetapi strategi mengurus risiko dan kesan kepada sesuatu bencana itu perlu menjadi satu keutamaan," katanya.
Armizan berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani Tawau di Tapak Tamu Desa, Kampung Budaya, Pasir Putih di sini pada Ahad.
Menurutnya lagi, antara penyelesaian penting yang dikenal pasti ialah melengkapkan rangkaian grid elektrik di Sabah menerusi pembinaan Sabah Southern Link yang menghubungkan Mengalong, Sipitang hingga ke Tawau.
Katanya, rangkaian tersebut penting sebagai laluan alternatif penyaluran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah sekiranya berlaku gangguan pada East-West Link, iaitu rangkaian grid sedia ada dari Kolopis, Penampang ke Segaliud.
"Sabah Southern Link akan berfungsi sebagai alternatif penyaluran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, apabila sesuatu insiden gangguan berlaku pada East-West Link iaitu rangkaian grid sedia ada dari Kolopis, Penampang ke Segaliud sebagaimana yang berlaku sekarang dan September 2025," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM198 juta kepada Sabah Electricity bagi membolehkan pelaksanaan Fasa 1A projek berkenaan.
Katanya, Fasa 1A yang bermula pada September 2025 itu melibatkan pembinaan rangkaian sepanjang 60 kilometer (km) dari Mengalong ke Upper Padas dan disasarkan siap pada September 2028.
Bagaimanapun, Armizan berkata, permohonan peruntukan bagi Fasa 1B yang dianggarkan berjumlah RM1.4 bilion masih belum diputuskan oleh kerajaan Persekutuan.
"Fasa berkenaan melibatkan pembinaan rangkaian sepanjang kira-kira 270km dari Upper Padas ke Tawau dan merupakan komponen penting bagi melengkapkan keseluruhan projek Sabah Southern Madani Link.
"Namun begitu Fasa 1A hanya melibatkan jarak 60km dari Mengalong ke Upper Padas. Permohonan peruntukan bagi Fasa 1B melibatkan anggaran RM1.4 bilion belum diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Fasa 1B adalah amat kritikal sebagai pelengkap kepada keseluruhan Projek Sabah Southern Madani Link yang melibatkan jarak kira-kira 270km dari Upper Padas ke Tawau.
"Adalah diharapkan kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan khas agar komponen projek Fasa 1B boleh dimulakan segera tanpa menunggu siapnya Fasa 1A," katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan, malah cadangan pelaksanaan projek Southern Link telah dikemukakan sejak 2021 sebagai projek yang lebih kritikal bagi menggantikan Projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang dibatalkan pada 2018 berikutan isu berbangkit berkaitan status pelaksanaan dan pembayaran.
Beliau berkata, susulan pengumuman kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) sebagai projek gantian kepada TSGP dan MPP, Sabah juga sewajarnya mendapat manfaat menerusi pelaksanaan keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B Sabah Southern Madani Link.
"Kerajaan persekutuan sewajarnya memberikan pertimbangan supaya projek gantian bagi TSGP/MPP juga memanfaatkan Sabah dengan pelaksanaan keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B Projek Sabah Southern Madani Link dengan memberikan kelulusan peruntukan pada kadar segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
