Kluster tabligh tidak ingkar

Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur lokasi berlangsungnya perhimpunan tabligh pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur lokasi berlangsungnya perhimpunan tabligh pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan 106 kes terbaharu wabak koronavirus (Covid-19) semalam menjadikan jumlah keseluruhan 1,624 kes.

Daripada jumlah 106 kes itu, sebanyak 43 kes berkaitan dengan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu, manakala 63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster yang masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Berdasarkan statistik, dianggarkan sebanyak 62 peratus daripada 1,624 jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia merupakan kluster tabligh.

Menjelaskan mengenai perkara itu, wakil jurucakap jemaah tabligh Masjid Jamek Sri Petaling, Dr Mohd Fauzi Othman berkata, pihaknya sentiasa mematuhi arahan daripada kerajaan dengan melakukan saringan seperti yang dikehendaki.

Beliau berkata, setakat semalam sebanyak 90 peratus jemaah tabligh telahpun hadir membuat ujian saringan.

“Semua jemaah telahpun dimaklumkan untuk mematuhi arahan kerajaan.

"Kami berharap baki 10 peratus akan hadir esok membuat ujian saringan, selain semua jemaah yang hadir itjimak itu datang untuk membuat saringan semula seperti yang disarankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Fauzi berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan membuat ujian saringan di pusat kesihatan daerah seluruh negara khusus untuk jemaah tabligh mulai hari ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham rayu jangan salahkan tabligh

Ditanya mengenai jumlah jemaah yang terbabit dalam saringan, kata Mohd Fauzi, beliau tidak dapat memberikan jumlah angka yang tepat, namun yakin hanya kira-kira 10 peratus yang masih belum hadir melakukan saringan.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan akan mula memburu baki kira-kira 3,800 jemaah tabligh yang dikenal pasti seluruh negara yang masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak polis sudah mempunyai senarai nama lengkap jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling itu.

Ismail Sabri berkata, lebih 3,800 jemaah tabligh itu bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi terdiri daripada rakyat Rohingya dan pendatang tanpa izin.