X

Kindly register in order to view this article
!

Nasib ‘meow’, gelandangan ketika PKP

A
A

KETIKA hampir keseluruhan rakyat Malaysia akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin menegaskan tiga juta rakyat negara ini masih berdegil dan ingkar dengan arahan itu.

Akibat kedegilan itu, tular di media sosial pelbagai arahan, parodi hinggakan ramai yang memetik nama Diva AA untuk membantu PDRM ‘menggunakan arahan pedas’ supaya orang ramai berada di rumah. Dalam erti kata lain ‘duduk rumah diam-diam’ atau ‘stay at home’.

Empat hari kemudian, pada 22 Mac lalu, tepat jam 12 malam, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaikan hilang sabar dan mengambil langkah pantas dengan mengarahkan Menteri Pertahanan menggerakkan tentera untuk turun padang membantu anggota PDRM.

Gandingan dua pasukan keselamatan negara itu wajar dipuji. Mana tidaknya, tatkala orang ramai ketakutan angkara Covid-19, mereka menggadai nyawa, meninggalkan keluarga dan buat sesetengah orang awam bila nampak kelibat askar dan polis lengkap bersenjata hati mula berdebar.

Tujuan kawalan hanya satu iaitu mengekang penularan Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia. Mereka terpaksa bertegas dengan sikap rakyat Malaysia yang masih kurang prihatin.

Setiap kali pengumuman dibuat di saluran media, barisan anggota kerajaan dilihat penat, letih dan raut wajah mereka terukir kesedihan, kebimbangan yang tidak boleh lagi disembunyikan.

Itu belum lagi barisan hadapan seperti paramedik. Tekanan cukup hebat. Inilah barisan wira negara yang sebenar! Kami rakyat Malaysia sentiasa bersama anda, percayalah!

Di sebalik arahan PKP yang akan berakhir pada 31 Mac ini, kita mungkin terlupa apakah nasib gelandangan, kucing dan anjing jalanan yang selama ini menagih simpati untuk mengisi perut.

Buat gelandangan mereka mungkin ‘terselamat’ kerana biarpun arahan PKP dikeluarkan tetapi masih ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan bantuan secara pantas.

Pengasas Food For Gelandangan (FFG), Mohd Azizan Zainal Abidin mengakui golongan gelandangan di ibu negara khususnya kini berdepan tempoh sukar disebabkan PKP.

Beliau berkata, agihan bantuan makanan oleh FFG sendiri terpaksa dibuat dalam keadaan yang amat terhad bagi menghormati arahan PKP oleh kerajaan.

“Agihan dilakukan dalam kumpulan kecil dengan menekankan isu keselamatan seperti sanitizing diri, pemakaian penutup muka dan sarung tangan.

“Pastinya apabila PKP dikeluarkan, konsep selamatkan diri sendiri dan keluarga adalah keutamaan. Ini secara tidak langsung mengakibatkan golongan gelandangan dan miskin bandar semakin terpinggir,” katanya.

Dari kaca mata pencinta haiwan pula, bagaimana nasib kucing dan anjing jalanan selama tempoh PKP?

Kedai makan yang selama ini menjadi ‘lubuk’ rezeki sudah sunyi sepi. Jika yang menagih simpati di depan kedai 24 jam...yang hanya kedengaran kini hanya ‘meow... meow... meow'. Suara halus penuh kesedihan.

Jika dahulu, kucing kotor itu bagaikan penyanyi jalanan yang menunjukkan aksi manja bagi mendapatkan balasan makanan namun kini ‘anak bulus’ itu hanya diam membungkam mengenang hari-hari mendatang.

Begitu juga dengan anjing jalanan yang sering dihina, dibaling batu oleh budak nakal, nasib sama yang harus diharungi sepanjang dua minggu ini.

Jadi, buat mereka yang mendapat pelepasan ke tempat kerja, buka mata, lihat kiri kanan. Jika terlihat spesies ini, berikanlah sedikit makanan kerana mereka juga tahu erti lapar dan masih perlu mengisi perut anak-anak.

Rasanya anda tidak akan jatuh miskin jika berbuat demikian kerana haiwan ini akan mendoakan anda dengan ‘cara mereka’.

Apa akan jadi selepas 31 Mac ini? Adakah PKP diteruskan seperti saranan Majlis Keselamatan Negara jika angka korban meningkat?

Oleh itu, duduk rumah diam-diam, jangan tambahkan lagi beban dan kesedihan angkara virus jahat Covid-19.

* Liza Hasan ialah Penerbit Sinar Video